Batu Talam: Umno percaya BA taja calon bebas
Penamaan calon bagi pilihanraya kecil Batu Talam esok menjadi tumpuan ramai sama ada Barisan Nasional (BN) akan memenanginya tanpa bertanding atau ada calon yang menyerahkan borang pencalonan.
Penamaan calon bagi pilihanraya kecil Batu Talam esok menjadi tumpuan ramai sama ada Barisan Nasional (BN) akan memenanginya tanpa bertanding atau ada calon yang menyerahkan borang pencalonan.
Ini berikutan keputusan Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memboikot pilihanraya kecil kali ini.
Bernama melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, calon BN diumumkan jam malam ini.
Beliau akan menemui Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tengah hari ini untuk menyerahkan senarai calon BN untuk diputuskan oleh presiden parti.
BN Pahang telah menyenarai-pendekkkan nama tujuh orang calon berpotensi kesemuanya ahli jawatankuasa Umno Raub untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam sekiranya ada pertandingan.
Walaupun BA mahu memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, tetapi ramai pihak termasuk dari kalangan Umno sendiri percayai PAS dan PKR kemungkinan besar menaja dan menyokong calon bebas.
Calon bebas
Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin tidak percaya pembangkang akan memberi kemenangan percuma kepada BN, tetapi akan menaja calon atas tiket bebas sebagai proksi mereka pada hari penamaan calon esok.
Sehingga ini, seramai tujuh orang telah mengambil borang pencalonan bagi pilihanraya kecil Batu Talam.
Ribuan penyokong BN dijangka mengiringi calon mereka ke pusat penamaan calon esok dan Shahiruddin menasihatkan mereka supaya mematuhi segala prosedur dan arahan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kerusi Batu Talam menjadi kosong selepas kematian wakil rakyat BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 66, akibat baru pada 27 Disember lalu.
SPR telah menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil kerusi tersebut diadakan esok, dan jika berlaku pertandingan, pengundian dijalankan pada 29 Januari depan.

