Persetujuan Suqiu dengan Pemuda Umno minggu lalu membuktikan sangkaan buruk di kalangan sesetengah pihak bahawa pengundi Cina di negara ini "tidak berprinsip" dan "tidak boleh dijadikan rakan seperjuangan jangka panjang."
Daripada keputusan itu, jawatankuasa rayuan pilihanraya Cina itu perlu menerima tanggapan buruk daripada kaum-kaum lain bahawa pengundi kaum itu tidak tidak berasaskan prinsip politik jangka panjang dan "bertaraf tinggi."
"Sokongan mereka (Cina) mudah dimanipulasi oleh sesiapa yang mempunyai kuasa, berasaskan kepentingan-kepentingan sempit semasa," kata Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia, Rustam A Sani.
Beliau juga berkata jika beberapa parti Melayu turut berbuat demikian, pengundi-pengundi Cina pula yang memandang serong kepada pembangkang tersebut.
"Jika persepsi politik demikian telah tertanam, maka upaya (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad dan Umno untuk memecah belah pembangkang dan menghalang pertumbuhan politik baru sebenarnya telah tercapai," katanya dalam satu tulisan yang bakal diterbitkan dalam lidah rasmi Parti Keadilan Nasional, Berita Keadilan , bulan ini.
"Ada tanda-tanda bahawa sangkaan buruk inilah juga yang dipegang oleh Mahathir."
Mengulas sikap kumpulan Cina mengetepikan tujuh isi rayuannya, Rustam berkata jawatankuasa itu "terpedaya oleh gertakan" dan bantahan Pemuda Umno yang secara "tidak sah" mendakwa sebagai mewakili sentimen orang Melayu hari ini.
"Mengapakah dalam keadaan Umno tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu dan survival (masa depan) politiknya sendiri bergantung sepenuhnya pada sokongan bukan Melayu, Mahathir memilih untuk menampilkan dirinya sebagai "wira" ketuanan Melayu dan terus membuat kecaman yang berlebihan terhadap Suqiu dan para pemimpin komuniti dan pendidikan Cina?" persoal Rustam lagi dalam rencana itu, satu salinannya diperolehi malaysiakini hari ini.
Tambahnya, langkah demikian diambil kerana dalam pemikiran politik perkauman Barisan Nasional dan Mahathir, strategi utamanya ialah memenangi kembali sokongan politik orang Melayu.
Ilusi ketegangan kaum
"Satu-satunya cara yang berkesan untuk memenangi sokongan politik orang Melayu itu ialah dengan cara yang kelihatannya seperti menyerang orang Cina dan menolak sebarang tuntutan politik mereka," katanya.
Rustam juga berkata, tindakan Suqiu itu turut mengecewakan banyak pihak, termasuk sebahagian besar orang Melayu yang secara terang-terangan menyatakan sokongan mereka terhadap gabungan lebih 2,000 persatuan Cina itu bagi mengemukakan rayuan tersebut atas jaminan prinsip demokrasi.
Tambahnya lagi, langkah penarikan rayuan tersebut dilakukan untuk mengendurkan ketegangan kaum walaupun keadaan itu sebenarnya tidak wujud.
"Ilusi tentang ketegangan kaum, kemarahan orang Melayu dan rasa terancam orang Melayu itu sebenarnya tidak lebih daripada hanya igauan siang Pemuda Umno sendiri," katanya.
Berita Keadilan edisi terbaru itu akan mula berada di pasaran Jumaat ini.
