Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azan gesa Najib jelaskan soal tiket ECRL, cara bayar hutang

Meneruskan persoalannya berkenaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail meminta bekas perdana menteri Najib Razak untuk memberi penjelasan lanjut mengenai projek itu, termasuk harga tiket dan kaedah untuk menyelesaikan hutang pembinaannya.

Azan berkata rakyat berhak tahu berkenaan projek yang dimulakan ketika pentadbiran Najib itu, yang digelarnya sebagai "jaguh projek mega".

"Najib serba tahu, dia pakar segalanya. Daripada mengagihkan kek (ekonomi) kepada rakyat sehingga menyelamatkan Sapura Energy tanpa menggunakan satu sen rakyat.

"Jadi, saya sebagai rakyat Terengganu ingin tahu kos ECRL termasuk tambang dan bagaimana kerajaan nak menyelesaikan hutangnya.

"Janganlah nanti minta pula Petronas 'bail out' ECRL pula," katanya kepada Malaysiakini.

Azan merujuk hujah Najib ketika debat bersama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim Khamis lalu, di mana dia berkata Sapura Energy Bhd (SEB) boleh diselamatkan menerusi pengambilalihan oleh Petronas dan ia tidak akan menggunakan duit rakyat.

Anwar pula menyangkal kenyataan itu dengan berkata Petronas sememangnya adalah milik rakyat Malaysia.

Projek ECRL yang melibatkan jajaran sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dianggarkan memakan kos RM50.27 bilion.

Azan turut mengkritik pendekatan Najib yang menurutnya "sangat berminat" dengan projek mega yang dikatakan akan membantu rakyat.

"Malah, dia turut memberi penjelasan baru kepada istilah 'cash is king' bahawa 'king' itu merujuk rakyat.

"Jika begitu, maka rakyat berhak mendapat tahu jumlah keseluruhan projek ECRL ini," katanya lagi.

Awal bulan ini, Azan telah membangkitkan soal kos ECRL yang tinggi dan berpandangan ia akan menyebabkan harga tiket yang mahal sehinggai mencecah "enam kali ganda tambang pesawat" untuk ke destinasi yang sama.

Najib bagaimanapun menyangkal pandangan itu dan berkata kerajaan dan syarikat ECRL "tidak gila" untuk mengenakan harga setinggi itu.

Dia juga berkata harga tiket akan berpatutan kerana sebahagian besar sumber pendapatan ECRL adalah pengangkutan kargo dan bukannya daripada tiket penumpang.

Lihat Komen
ADS