Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mampukah rakyat bayar tambang ECRL, 6 kali ganda tiket pesawat?'
Diterbitkan:  May 5, 2022 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Kerajaan digesa meneliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata tambang ECRL dijangkakan mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi.

"Rata-rata rakyat negeri-negeri pantai timur menyambut baik pelaksanaan ECRL kerana dijangka dapat selesaikan kesesakan lalu lintas.

"Walaupun, mampu atasi kesesakan tetapi adakah rakyat mampu bayar tambang yang mencecah enam kali ganda tambang pesawat ke destinasi yang sama?

"Adakah negara mampu menanggung jumlah hutang baru yang bakal dibebankan kepada generasi akan datang?

"Walaupun kemampuan selesaikan kesesakan lalu lintas tetapi harus juga diteliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang dan kemampuan kewangan negara untuk menampung beban kewangan," katanya kepada Malaysiakini.

Demikian katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang sebelum ini berkata masalah kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan khususnya ke pantai timur dijangka dapat diselesaikan dengan projek ECRL.

Menurut Wee tempoh masa perjalanan ke wilayah berkenaan ketika ini yang mengambil masa lebih tujuh jam akan menjadi lebih singkat iaitu sekitar empat jam.

Bagaimanapun, Azan berkata kerajaan seharusnya membentangkan pelan cadangan untuk memastikan tambang yang mahal dan bebanan kewangan ditangani agar manfaat kepada rakyat terutamanya bakal penumpang di seluruh Pantai Timur.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) melibatkan 59 terowong dianggarkan RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Lihat Komen
ADS