J'kuasa pemilihan PKR boleh batal, adakan pemilihan semula di cabang
Ketua Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) Zaliha Mustafa berkata jawatankuasa itu boleh membatalkan keputusan pemilihan dan mengadakan pemilihan semula di peringkat cabang sekiranya perlu.
Katanya, langkah itu akan diambil sekiranya pihaknya mendapati ia disebabkan kelemahan sistem aplikasi Adil atau berlaku sebarang masalah di tempat-tempat pengundian.
"Jika keperluan tersebut berlaku maka parti, pimpinan dan akar umbi harus menerima baik sebarang kemungkinan atas keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022, demi kebaikan dan ketelusan perjalanan Pemilihan 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Zaliha menjawab kenyataan calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, yang membangkitkan kelemahan dalam sistem pemilihan PKR, yang didakwa membuka ruang kepada risiko penipuan.
Menjelaskan hal tersebut, Zaliha berkata buat pertama kalinya pemilihan PKR dilakukan secara hibrid iaitu dengan menggabungkan kaedah pengundian secara atas talian dan pengundian secara fizikal dengan menggunakan sistem aplikasi Adil.
Katanya, demi mengelakkan pengundian berganda, JPP mewajibkan penggunaan dakwat calit undi, serta hanya pengawas yang bertugas mempunyai akses kepada kod kata laluan yang berbeza-beza, bagi membuka kertas undi digital di peranti pengundian yang disediakan.
"Salah satu daripada ciri keselamatan yang telah dibangunkan ialah, selepas setiap kali pengundian dilakukan, anggota boleh menyemak kembali pilihan mereka, sahkan pilihan tersebut sebelum menekan butang hantar.
"Selepas penghantaran kepada peti undi mega atau ‘cloud’, sistem akan secara automatik kembali ke muka surat asal.
"Pengawas pula perlu memasukkan kembali kod kata laluan sebelum ke muka surat di mana nombor kad pengenalan dimasukkan, bagi membolehkan pengundi seterusnya mengundi.
"JPP hanya membenarkan pengawas sahaja untuk memasukkan nombor kad pengenalan yang dikemukakan anggota, setelah disahkan nombor kad pengenalan yang betul dimasukkan, barulah anggota tersebut boleh mendapatkan kertas undi digital yang bertepatan dengan keanggotaan masing-masing," jelasnya.
Menurutnya, pengawas pemilihan adalah pengendali yang dipilih dari kalangan rakyat Malaysia dan bukan merupakan anggota parti.
"Penyelaras Tempat Undi (PTU) dan petugas pula adalah dari kalangan anggota parti yang tugasannya hanyalah membantu melancarkan proses pemilihan di satu-satu cabang.
"Mereka dilarang sama sekali berada di ruang pengundian dan dilarang keras dari menyentuh mana-mana peranti yang sepenuhnya di bawah tanggungjawab dan pengawasan Pengawas," katanya.
Menurutnya, sistem aplikasi Adil telah meletakkan pelbagai ciri sekuriti untuk mengurangkan sebarang kemungkinan manipulasi dan penipuan.
"Bagaimanapun saya yakin tiada suatu pun sistem yang dibina manusia itu yang seratus peratus sempurna dan terjamin dari sebarang risiko,” katanya.

