Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patriot desak kerajaan segera batal pelantikan Tajuddin
Diterbitkan:  May 19, 2022 8:23 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata rasa curiga yang meluas dalam kalangan orang awam ekoran pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai ketua diplomatik negara di Indonesia perlu dikaji semula.

Malah persatuan itu berpendapat langkah berkenaan ketika ini adalah mendesak.

"Ini perlu difikirkan semula segera. Penurunan pendapat umum terhadap langkah perdana menteri dan kabinetnya tidak boleh diabaikan.

“Sehubungan itu, Patriot menuntut perdana menteri dan kabinetnya memikirkan semula dan segera membatalkan pelantikan itu,” kata Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan semalam.

Kelmarin Tajuddin mengesahkan dia dilantik menjadi duta negara ke Indonesia.

Langkah diambil kerajaan Keluarga Malaysia itu dikecam pelbagai pihak ekoran beberapa isu yang membabitkan ahli parlimen Pasir Salak berkenaan.

Ia juga mengembalikan amalan kerajaan melantik ahli politik sebagai duta selepas sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh pegawai kanan dalam perkhidmatan awam.

Kata Mohamed Arshad, Patriot menerima banyak keluhan dan rasa tidak senang mereka terhadap pelantikan tersebut.

Malah katanya kempen dalam talian digerakkan pihak tertentu bagi mendesak Tajuddin meletak jawatan juga menarik sokongan yang pantas.

"Bukanlah susah sangat untuk memahami kekecewaan orang ramai dan mengapa ada protes yang meluas terhadap pelantikan duta ke Indonesia itu.

"Walaupun perdana menteri menjamin Jakarta mengalu-alukan pelantikan tersebut, rakyat patriotik Malaysia tidak berpendapat begitu," katanya.

Selain mewakili kerusi Pasir Salak selama beberapa penggal, Tajuddin juga pernah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno Malaysia, selain menjadi pengerusi Prasaran Malaysia Bhd.

Bagaimanapun jawatan tersebut sudah dilucutkan daripadanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS