Krisis dalaman DAP kini melanda Pahang dan Johor
Selepas DAP Negeri Selangor dan Selangor dilanda krisia, kini keretakan mula dapat dilihat dalam DAP Johor dan Pahang pula.
Selepas DAP Negeri Selangor dan Selangor dilanda krisia, kini keretakan mula dapat dilihat dalam DAP Johor dan Pahang pula.
Hari ini, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mahu meletakkan jawatannya dan menawarkannya kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng "bagi mengurangkan masalah dalaman di peringkat negeri".
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bahau, Lim Fui Ming meninggalkan parti itu kerana mendakwa telah dipinggirkan.
Manakala Khamis lalu, jawatankuasa DAP Selangor membawa usul tidak percaya terhadap Ketua DAP negeri itu, Ong Chee Keng dan memecatnya daripada jawatan tersebut. Ia kerana Ong didakwa sering mengambil keputusan tanpa merujuk kepada jawatankuasa perhubungan negeri.
Dan hari ini, Setiausaha DAP Pahang, Chong Siew Onn mengkritik hebat tindakan yang terhadap Ong itu. Beliau juga merupakan penasihat kepada calon bebas, Ng Chee Pang (foto) dalam pilihanraya kecil Batu Talam di Raub, Pahang.
Beliau dipercayai bertindak demikian kerana kecewa dengan keputusan parti itu tidak mahu bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Chong berkata, apa yang berlaku kepada DAP Negeri Sembilan dan Selangor menunjukkan organisasi dan disiplin dalam parti itu perlu diperkukuhkan lagi.
'Rombak jawatasankuasa pusat'
Beliau juga mendesak supaya keahlian jawatankuasa organisasi pusat DAP dirombak bagi mengembalikan semula kewibawaannya.
Chong juga mendakwa, ada pemimpin dalam parti itu yang menyalahgunakan nama setiausaha agungnya untuk merosakkan perpaduan parti.
"Ini seharusnya diambil tindakan disiplin untuk mengembalikan kewibawaan setiausaha agung parti," katanya.
Chong juga mahu jawatankuasa organisasi pusat DAP berpegang kepada prinsip perpaduan dan memberi kebebasan kepada perhubungan negeri untuk bertindak dalam mempertahankan demokrasi dalam DAP.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Dr Boo berkata sedia meletakkan jawatannya untuk memberi laluan kepada Lim Guan Eng untuk menerajui Johor.
Beliau juga menegaskan perlunya pembaharuan yang positif untuk memperbaiki lagi mekanisme parti dalam menangani konflik dalaman DAP.
Dr Boo berkata, Johor juga merupakan tapak yang terbaik bagi Guan Eng membuktikan kemampuan politiknya untuk memecahkan dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
"Walaupun saya belum meminta pandangan ahli-ahli DAP untuk meletakkan jawatan, saya jangka tiada bantahan daripada Lim Guan Eng untuk datang ke Johor jima beliau benar-benar mahu berbuat demikian," katanya.

