"Saya suka bertanding," itulah yang sekadar dapat dijelaskan oleh Ng Chee Pang, 21, selepas mengemukakan borang pencalonan untuk pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari ini.

Bagi bapanya, Ng Kwi Ling (foto), 55, pula, alasannya ialah: "Saya mahu kasi bisnes pada orang Batu Talam (kerana) kalau ada pertandingan, orang ramai akan datang ke sini".

Kui Ling adalah bendahari DAP Pahang, yang pernah enam kali bertanding dalam pilihanraya umum, demikian menurut laporan Bernama.

PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihanraya kecil Batu Talam kerana mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam pilihanraya umum lalu, kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, yang menewaskan calon PAS, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf, dengan kelebihan 2,761 undi. Tengku Paris meninggal dunia 27 Disember lalu akibat barah.

Pada 28 Julai ini, Ng (kanan) yang akan usianya 22 tahun Isnin depan, akan menentang calon BN Abdul Aziz Mat Kiram, yang juga setiausaha Umno Bahagian Raub.

Calon tajaan?

Pengerusi DAP Pahang Lip Tuck Chee menafikan parti itu menaja calon bebas itu dan menjelaskan bahawa Ng bukannya ahli DAP.

"Kalau dia ahli DAP, memang kita tidak benarkan dia bertanding. Tapi saya harap dia dapat kurangkan undi majoriti (BN), atau setidak-tidaknya tidak hilang wang pertaruhan," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha DAP Pahang, Chong Siew Onn dilaporkan menjadi penasihat kepada Ng.

Manakala Ketua Penerangan Puteri Umno, Datuk Shahaniza Samsudin hairan kenapa seorang calon bebas sanggup bertanding di satu kawasan yang memangnya kubu kuat BN.

Ketua Wanita Umno Pahang Datuk Maznah Mazlan pula yakin pengundi Batu Talam akan menolak calon bebas itu.

Ketua Puteri Umno Pahang, Nor Azita Abdul Rahman berkata wakil rakyat bebas tidak akan mempunyai suara dalam Dewan Undangan Negeri.

"Apa wakil rakyat bebas boleh buat?" katanya.

Batu Talam mempunyai 10,525 pemilih, hampir 80 peratus daripadanya Melayu.