Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat kedua pendaki Gunung Suku ditemukan lepas seminggu

Operasi hari ketujuh mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di Perak, Ahad lepas membawa kepada penemuan mangsa kedua.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata mayat ditemukan dalam keadaan sempurna dan hanya mengalami kecederaan pada badan serta kepala.

"Mayat wanita itu dijumpai di bawah timbunan di lokasi Sektor C (Kawasan Terowong berhampiran Jalan Besar) pada 11.20 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis pukul 11.55 pagi.

"Operasi pencarian mangsa diteruskan pada 9 pagi dengan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang daripada pelbagai agensi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan operasi tamat pukul 1 tengah hari," katanya menerusi kenyataan.

Sejak Isnin, pasukan SAR menemukan sebahagian dan cebisan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita berkenaan.

Kedua-dua wanita itu yang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, 15 Mei lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS