Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mafi nafi ladang tutup sementara punca bekalan ayam kurang
Diterbitkan:  May 23, 2022 11:04 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menafikan dakwaan penutupan sementara beberapa ladang ternakan pada hujung minggu lalu adalah punca kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Ia susulan laporan berkenaan "kartel ayam" yang menghentikan operasi pada 21 hingga 22 Mei serta penjual yang menimbang untuk mogok kerana dakwaan penangguhan pengagihan subsidi kerajaan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan yang dibuat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati laporan itu kurang tepat.

"Syarikat ladang ayam terbabit telah memberikan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam 'super', ayam 'standard' serta keratan ayam.

"Pemeriksaan JPV juga mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam," kata Mafi.

Pada masa sama, Mafi mengakui tidak dinafikan ada ladang ayam yang berdepan masalah kenaikan berat badan ayam.

Katanya, ia akibat mutu dedak, jangkitan penyakit, cuaca panas melampau yang telah mengganggu pembesaran ayam.

"Ini telah memberi kesan kepada bekalan ayam di kawasan-kawasana tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Mafi juga menjelaskan penilaian pemberian subsidi ayam kepada penternak yang membuat permohonan akan disegerakan dan permohonan yang diluluskan akan memperolehinya dalam tempoh yang telah dijanjikan.

"Mafi akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan semua pihak industri yang terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan," kata kementerian itu lagi.

Lihat Komen
ADS