Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Najib, Sri Ram kekal sebagai pendakwa

Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram kekal sebagai ketua pendakwaan dalam kes jenayah 1MDB Najib Razak.

Mahkamah tertinggi negara pagi ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan rayuan supaya Sri Ram diluvutkan daripada mendakwa kesnya.

Dalam keputusan sebulat suara, tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa tidak ada persoalan baru undang-undang yang memerlukan mahkamah tertinggi mendengar merit rayuan tersebut.

Hakim itu mengambil maklum bahawa isu pelantikan peguam swasta yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya ad hoc atau sementara berkenaan telah pun diselesaikan dalam dua rayuan pada 2014.

Zawawi merujuk kepada permohonan Anwar Ibrahim ketika itu untuk mencabar pelantikan peguam Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa ad hoc dalam rayuan Liwat II ketua pembangkang itu.

Shafee juga bertindak sebagai peguam Najib dalam dalam permohonan di mahkamah tertinggi negara, hari ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib dan peguamnya Muhammad Shafee gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes mereka.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tanpa perintah berhubung kos.

Beliau berkata persoalan undang-undang yang Najib dan Muhammad Shafee mahu mahkamah pertimbangkan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya melawan Anwar Ibrahim pada 2014 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Nallini Pathmanathan dan Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang mengenai pelantikan peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya telah selesai dan mahkamah tidak mempunyai sebab untuk tidak menerima keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

Dalam kes berkenaan, Anwar memohon untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa ad hoc untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan dalam kes liwat.

Hakim Mahkamah Persekutuan (Mohd Zawawi) berkata Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan dengan dua cara pelantikan, pertama pelantikan terus oleh pendakwa raya dan Seksyen 379 adalah melalui fiat pendakwa raya.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Disember 2018.

Muhammad Shafee, yang juga peguam bekas perdana menteri itu, turut memfailkan semakan kehakiman kerana beliau juga mahu menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

Najib dan Muhammd Shafee juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Kedua-dua semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mereka gagal dalam rayuan mereka yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Semasa prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata terdapat persoalan undang-undang baharu dan kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan pelantikan peguam sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan lain adalah sama ada pihak pendakwa raya boleh melantik peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya kanan tanpa pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dibuat di tempat dahulu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram membantah permohonan kebenaran dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

Lihat Komen
ADS