PAS cabar Abdul Rashid bersumpah di Masjid Negara
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berdebat secara terbuka berhubung dakwaan berlaku kepincangan dalam pengurusan pilihanraya di negara ini.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berdebat secara terbuka berhubung dakwaan berlaku kepincangan dalam pengurusan pilihanraya di negara ini.
Dalam suratnya yang dihantar kepada Abdul Rashid hari ini, Ahli Parlimen Kubang Krian itu mencabar Abdul Rashid berdebat mengenai perkara-perkara berikut:
Bahawa pengendalian pilihanraya di Malaysia adalah tidak bersih dan tidak telus,
Bahawa telah berlaku banyak penipuan sepanjang proses pilihanraya di Malaysia
"Saya menegaskan pilihanraya di Malaysia adalah yang "paling kotor" sepanjang Tan Sri menerajui SPR," kata Salahuddin dalam surat tersebut.
"Saya juga meminta Tan Sri bersumpah dengan kalimah "wallahi, wabillahi, wataLlahi" di Masjid Negara jika Tan Sri menafikan semua tuduhan saya di atas," tambahnya.
Sebelum ini, PAS telah memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam yang ditetapkan 28 Januari ini.
Ketika mengumumkan demikian, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata keputusan itu diambil kerana mendakwa wujud kepincangan dalam SPR.
Kepincangan tersebut, tegasnya, termasuk daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui, serta penyalahgunaan undi pos yang menjadikan perspektif pilihanraya tidak telus dan prejudis.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, dari Barisan Nasional (BN) akibat barah pada 27 Disember lalu. SPR menetap penamaan calon dibuat pada 16 Januari ini.
Pada 8 Januari lalu, Abdul Rashid telah mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihanraya serta penstrukturan semula SPR.
Abdul Rashid juga dilaporkan sebagai berkata, selain memberi lebih kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihanraya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.

