DAP nafi taja calon bebas di Batu Talam
DAP menafikan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa parti itu menaja calon bebas Ng Chee Pang menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam 28 Januari ini.
DAP menafikan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa parti itu menaja calon bebas Ng Chee Pang menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam 28 Januari ini.
"DAP tetap dengan pendirian kami yang tidak berminat dengan kerusi Batu Talam," kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas penamaan calon semalam, Najib mendakwa, pihak pembangkang meletakkan calon bebas untuk menguji sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Najib mendakwa, walaupun calon bebas, tetapi pada hakikatnya, dia sebenarnya ditaja oleh DAP.
Sehubungan itu, Lim berkata, DAP tidak bertanding atau menyokong mana-mana calon dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Malah, katanya, para pemimpin parti pembangkang itu tidak akan berkempen atau menubuh pusat gerakan, atau hadir di Batu Talam, sepanjang tempoh kempen tersebut.
Lenyap keraguan
Lim berharap, kenyataannya itu akan melenyapkan sebarang keraguan kononnya DAP telah menaja calon bebas tersebut.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada DAP Pahang yang menyokong penuh keputusan tersebut.
"Calon bebas itu bukan ahli DAP. Satu-satunya kaitan beliau dengan DAP ialah melalui bapanya, Ng Kwi Ling, yang merupakan bendahari DAP Pahang. Perkara ini telahpun ditangani oleh jawatankuasa perhubunganDAP Pahang," katanya.
Sebelum ini, PAS telah memboikot pilihanraya kecil Batu Talam yang ditetapkan 28 Januari ini kerana mendakwa wujud kepincangan dalam SPR.
Menurut Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, kepincangan tersebut, termasuk daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui, serta penyalahgunaan undi pos yang menjadikan perspektif pilihanraya tidak telus dan prejudis.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, dari Barisan Nasional (BN) akibat barah pada 27 Disember lalu.
Pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan antara calon BN, Abdul Aziz Kiram, 47, dengan calon beas Ng Chee Pang, 21.

