Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UUM jamin beri kerjasama, tak sembunyi fakta kematian siswi
Diterbitkan:  May 24, 2022 10:16 PM
Dikemaskini: 2:16 PM

Pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung kematian pelajar Sarjana Muda Perakaunan, S Vinosiny pada Sabtu lalu.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, enam pegawai Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan di tempat kejadian hari ini.

“UUM akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan dan sentiasa melaksanakan sikap terbuka tanpa menyembunyikan sebarang fakta mengenai kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.

Dr Haim juga memberi jaminan universiti itu akan terus membantu siasatan kes kematian pelajar tersebut yang merupakan sebahagian daripada keluarga besar UUM.

"Masyarakat di luar diminta untuk bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan S Vinosiny yang merupakan mahasiswi semester keempat ditemui meninggal dunia di bilik hostelnya pada Sabtu lalu.

Bapanya R Sivakumar, 65, mengesahkan kematian anaknya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Sivakumar mendakwa pihak pengurusan UUM menghubunginya pada pukul tiga petang hari kejadian dan memaklumkan anak perempuan itu terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Dia mendakwa terdapat kesan terbakar di muka dan tangan kanan anaknya, serta dua jarinya berwarna ungu kehitaman ketika doktor menunjukkan mayat mendiang kepadanya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Sivakumar berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat memaklumkan punca kematian akibat terkena renjatan elektrik.

Keluarga itu mengadakan upacara pengebumian di Klang, Selangor, pagi semalam.

Berita Harian sebelum ini memetik ketua polis daerah Kubang Pasu Rodzi Abu Hassan sebagai berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian Vinosiny.

Sementara itu, aktivis DAP, Nor Miswary Ramli yang merupakan pengasas NGO Sepakat Kedah menggesa UUM memberikan sokongan kepada keluarga mendiang.

"Saya menggesa pihak UUM supaya menyediakan bantuan sokongan dengan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.

"Pihak UUM juga disaran untuk mengemaskini perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Lihat Komen
ADS