'12% iaitu 136,629 ahli PKR mengundi bukan rendah sangat'
Kebimbangan untuk berkumpul dan menyertai aktiviti sosial dalam pasca Covid-19 antara sebab pemilihan PKR kali ini mencatatkan jumlah kehadiran yang rendah.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, K Saraswathy berkata, jumlah keluar mengundi dalam pemilihan PKR tidak jauh berbeza sejak 2010.
"Tiada perkara seperti peratusan keluar mengundi yang rendah tahun ini. Setiap pemilihan parti peratusan keluar mengundi adalah antara 15 peratus hingga 20 peratus.
"Jadi, 12 peratus pada kali ini bukanlah rendah sangat. Rakyat masih takut untuk berkumpul dan menyertai aktiviti sosial.
"Ini sama seperti jumlah peratus keluar mengundi yang rendah di beberapa PRN sebelum ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Saraswathy berkata demikian ketika ditanya peratusan keluar mengundi dalam pemilihan PKR yang rendah pada kali ini.
Untuk rekod pada pemilihan kali ini, sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.
Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.
Namun, Pengundian Atas Talian (PAT) yang diperkenalkan buat julung kali dan mencatatkan 90.84 peratus keluar mengundi dilihat sebagai satu kejayaan.
Saraswathy berkata selain faktor pasca Covid-19, keputusan menang tanpa bertanding di 65 cabang turut menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
"Ini bermakna hampir satu pertiga cabang tidak ada pertandingan. Maka, pihak yang menang tidak banyak usaha untuk membawa keluar ahli parti untuk mengundi.
"Sebagai contoh, di Perak antara negeri yang menyumbangkan jumlah kehadiran tinggi sebelum ini melihat tidak ada pertandingan di sembilan cabang.
"Saya juga percaya pertandingan antara dua calon timbalan presiden yang 'lebih mesra' berbanding pemilihan sebelum ini juga antara sebab ahli parti tidak bersemangat keluar mengundi," katanya merujuk pertandingan antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

