Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lanjut waktu operasi Imigresen: Cuepacs minta kebajikan kakitangan dijaga
Diterbitkan:  May 25, 2022 6:04 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memberi perhatian terhadap kebajikan kakitangan Jabatan Imigresen selepas pejabat-pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia melanjutkan waktu operasi sehingga 10 malam berikutan kesesakan di premis berkenaan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat dalam satu kenyataan turut berharap agar ketua-ketua jabatan imigresen memberi perhatian mengenai kebajikan dan keselamatan kakitangan mereka.

“Mereka ini ada yang mula bekerja seawal 4.30 pagi dan pulang lewat malam sehingga terpaksa mengabaikan keluarga dan urusan sendiri

"Dalam masa yang sama Cuepacs berharap kerajaan dapat menaik taraf sistem yang diguna pakai oleh Jabatan Imigresein serta agensi kerajaan yang lain bagi membolehkan perkhidmatan awam berjalan dengan lebih efisien dan lancar

"Kakitangan yang tidak mencukupi juga perlu ditambah dan diisi dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, kesesakan yang berlaku ketika ini disebabkan peningkatan mendadak permintaan untuk urusan pasport disebabkan pintu sempadan negara mula dibuka pada 1 April lalu.

"Kesesakan ini mengakibatkan ramai pelanggan yang hadir tidak berpuas hati sehingga menularkan perkara ini ke dalam sosial media tanpa informasi yang betul sehingga menjatuhkan kredibiliti Jabatan Imigresen.

"Cuepacs berharap orang ramai bertenang dan tidak bertindak menularkan perkara tersebut tanpa mendapatkan maklumat yang jelas mengenai situasi yang berlaku ketika ini,” Katanya menambah pihaknya sendiri telah turun padang di UTC Johor Bahru bagi melihat situasi dan gambaran sebenar.

Terdahulu dilaporkan semua pejabat imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berikutan pembukaan semula sempadan bulan lepas.

Pejabat imigresen di UTC di Perlis, Terengganu dan Pahang bagaimanapun hanya beroperasi sehingga jam 6 petang kerana jumlah permintaan PMA masih rendah..

Pada 23 Mei lalu, Bernama melaporkan pemohon terpaksa beratur panjang dan menunggu lama sejak awal pagi di kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS