Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Sidang Khas Parlimen sesegera mungkin bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Gesaan terbaru itu hadir susulan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

PH mengakui bahawa Ismail Sabri telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut.

"Maka janji itu harus ditunaikan. Selain RUU (antilompat parti), sidang khas parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.

"Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

"Justeru, Majlis Presiden (PH) menggesa perdana menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan," kata kenyataan bersama yang ditandatangani pimpinan tertinggi PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Sebelum ini, Zuraida yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai PBM, namun menegaskan akan tetap menyokong Ismail Sabri.

Zuraida sebelum ini merupakan naib presiden PKR dan menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton.

Selain PH, Umno juga menuntut undang-undang antilompat parti disegerakan.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Zuraida itu seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.