PBM dakwa ada MP lain turut beri sokongan
Parti Bangsa Malaysia (PBM) mendakwa ada ahli parlimen lain dalam kalangan penyokong kerajaan yang cenderung kepada parti itu.
Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad bagaimanapun tidak memberikan sebarang bayangan siapakah ahli parlimen yang dimaksudkannya itu.
Bagaimanapun bekas setiausaha politik Zuraida Kamaruddin itu membayangkan pengumuman mengenainya akan dibuat pada masa sesuai.
"Ada ahli parlimen yang lain turut menyokong PBM. Mereka terdiri daripada (blok) kerajaan," katanya seperti dipetik portal berita FMT hari ini.
Untuk rekod PBM boleh dianggap sebagai parti baru yang dilancarkan pada Dis tahun lalu.
Sebelum menjadi pemimpin PBM, Nor Hizwan adalah pemimpin sebuah pertubuhan yang ada kaitan dengan Zuraida, Penggerak Komuniti Negara, ketika ahli parlimen Ampang itu menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Semalam Zuraida mengumumkan langkahnya meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM. Namun bekas pemimpin kanan PKR yang berpaling tadah itu menegaskan dia tetap menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.
Nor Hizwan berkata permohonan Zuraida untuk menyertai PBM sedang dipertimbangkan.

