Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam Malaysia sedia anjur protes isu ugutan dalam kehakiman

Badan Peguam Malaysia menyatakan kesediaan untuk menganjurkan protes aman di tengah-tengah dakwaan berhubung ugutan kehakiman.

Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah berkata perkara itu adalah sebahagian daripada resolusi yang diluluskan oleh lebih 600 ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan petang tadi di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

"Pihak Badan Peguam Malaysia hendaklah mengambil langkah segera dan perlu untuk mengatur dan mengetuai protes aman pada masa dan tempat yang difikirkan sesuai oleh Majlis Peguam," kata Cheah pada sidang media petang tadi.

Cheah menambah bahawa urusan logistik termasuk menentukan tarikh dan tempat untuk berarak akan dibincangkan oleh Majlis Peguam pada mesyuarat Ahad ini .

Cheah berkata selain 437 ahli yang mengundi resolusi itu, wakil dari Sabah dan Sarawak yang hadir sebagai pemerhati turut menyokong tindakan itu.

"Setiap himpunan adalah berbeza," kata Cheah ketika ditanya sama ada protes aman itu mengambil contoh "Walk for Justice" pada 2007 yang diadakan di Putrajaya.

Ketika itu, kira-kira 2,000 peguam di bawah pimpinan pengerusi Majlis Peguam ketika itu Ambiga Sreenevasan berarak menentang dakwaan campur tangan kehakiman.

Selain bantahan secara aman, Cheah berkata resolusi itu juga merangkumi tindakan lain yang mungkin untuk mencabar kewajaran dan cara penyiasatan yang dimulakan oleh SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Nazlan disiasat SPRM selepas blog berkaitan politik menyiarkan dakwaan yang menuduh dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

“Badan Peguam Malaysia menyeru Peguam Negara, sebagai penjaga kepentingan awam, untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi institusi kehakiman dan prinsip suci kebebasan badan kehakiman daripada ugutan dan campur tangan sedemikian,” menurut resolusi itu.

Resolusi untuk menegakkan dan melindungi kebebasan badan kehakiman dan memelihara keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman itu adalah satu-satunya resolusi yang diluluskan hari ini.

Cheah berkata enam lagi resolusi yang dibentangkan oleh ahli individu telah dikalahkan dan mereka bebas untuk membangkitkannya semula pada mesyuarat lain.

Lihat Komen
ADS