Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan melibatkan wakil calon yang bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam pada 28 Januari ini dalam proses pengeluaran dan pengiraan undi pos.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata SPR memberi jaminan pilihanraya kecil Batu akan dijalankan secara telus dan adil.

Pembangkang PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memboikot pilihanraya kecil itu kerana mendakwa wujud kepincangan dalam undang-undang pilihanraya.

wakil calon yang bertanding dari Barisan Nasional (BN) dan Bebas akan dilibatkan dalam proses pengundian, termasuk proses pengeluaran dan pengiraan undi pos.

"Apa yang kita buat adalahransparent, kita buat secara telus, nak keluarkan undi pos pun kita buat di hadapan wakil calon...jangan khuatirlah, apa-apa Suruhanjaya (SPR) buat semuanya telus," katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat pilihanraya hari ini.

Menurutnya, pegawai pengurus pilihanraya terlebih dahulu akan mengeluarkan notis kepada wakil calon sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam selepas tempoh menarik diri calon berakhir, iaitu pada 12 tengah hari esok, untuk memaklumkan tarikh pengeluaran undi pos kepada 14 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam.

Pantau kempen

Selain itu, katanya, wakil calon yang bertanding juga akan turut dilibatkan dalam memantau perjalanan kempen bersama pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya itu.

"Wakil-wakil calon bekerja bersama kami (SPR), kita bergerak sebagai pasukan, pergi bersama, jadi tidak akan ada tuduhan yang liar-liar itu," katanya.

Kamaruzaman berkata, petugas pilihanraya turut diberikan kursus dan latihan bagi memberi kefahaman dan keseragaman dalam pengurusan ketika pilihanraya.

Menurutnya, SPR juga menggunakan pendekatan beramah mesra antara para petugas di 23 saluran di 12 pusat mengundi DUN berkenaan bagi meningkatkan kerjasama berpasukan dan mengelak berlaku sebarang kesilapan.

Pilihanraya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Abd Aziz Mat Kiram dengan calon Bebas, Ng Chee Pang.