Peguam Najib memfailkan permohonan untuk peguam diraja United Kingdom (Queen's Counsel) mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan kes rasuah RM42 juta SRC International.

Peguam dari firma Shafee and Co memfailkan usul pemula melibatkan peguam, Jonathan Laidlaw di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Persekutuan menetapkan tempoh 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan terhadapnya.

Menurut salinan dokumen permohonan yang dilihat media, Najib memohon agar Laidlaw diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Najib memohon agar peguam itu menjadi ketua pembelaan dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Difahamkan peguam Najib dalam proses menyerahkan salinan permohonan kepada pihak pendakwaan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman dalam kes SRC.

Najib sebelum ini didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 jut dana SRC International.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman terhadap Najib ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

[Baca berita asal]