Kira-kira 20 pertubuhan masyarakat sivil mengkritik tindakan kerajaan Singapura yang mengarahkan agar peguam Nagaenthran K Dharmalingam membayar sendiri kos sebanyak RM64,000 (SGD20,000) kepada jabatan peguam negara (AGC) Singapura.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, AGC pada mulanya meminta SGD40,000 daripada peguam terbabit, M Ravi dan Violet Netto kerana permohonan untuk menangguhkan hukuman mati terhadap Nagaenthran dengan memfailkan permohonan yang tidak mempunyai merit.

Ini dikatakan telah mengakibatkan kos yang tidak perlu.

“Apa yang lebih mengejutkan ialah Mahkamah Rayuan dianggotai lima hakim, yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, membuat perintah kos ini selepas sebulan anak guam peguam tersebut, Nagaenthran dijatuhkan hukuman mati,” kata kumpulan itu.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh 20 kumpulan masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa termasuk Aliran, Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet), Inisiatif Utara-Selatan, Black Women for Wages for Housework dan Kolektif Peguam (India).

Mereka menyifatkan perintah sedemikian sebagai penghinaan terhadap hak untuk mendapatkan keadilan dan perbicaraan yang adil, sekiranya mereka yang dinamakan dalam saman itu dan peguam mereka berdepan risiko tindakan balas oleh pendakwa raya atau mahkamah.

Ini termasuk kemungkinan dikenakan penalti dengan meminta peguam membayar kos pendakwaan dalam kes jenayah.

“Ini akan memberi kesan serius kepada keupayaan peguam dan anak guam mereka melakukan perkara yang diperlukan termasuk memfailkan permohonan yang diperlukan untuk membela anak guam mereka.

“Walaupun dalam sesetengah bidang kuasa, mahkamah boleh memerintahkan defendan/tertuduh/ yang disabitkan kesalahan membayar kos kepada pihak pendakwaan, ia jarang berlaku.

"Undang-undang atau amalan sebegini patut dimansuhkan," kata kumpulan itu.

[Baca berita penuh]