Kerajaan tidak akan mengeluarkan lagi lesen untuk perniagaan pinjaman wang ekoran berlaku kepincangan termasuk tindakan menggunakan kekerasan apabila untuk mendapatkan semula hutang.

Pengarah Jabatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff berkata, kini terdapat 3,100 lesen perniagaan pinjaman wang yang sah.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, langkah itu adalah sebagai usaha memudahkan pemantauan aktiviti pinjaman wang yang sah dan mengesan kepincangan dalam perniagaan mereka seperti menggunakan kekerasan apabila memungut hutang.

"Tidak ada gunanya mempunyai banyak agensi pinjaman wang yang sah jika kita tidak ada tenaga kerja bagi memantau mereka.

"Di Kuala Lumpur sahaja, ada lebih 500 agensi seperti itu," katanya dalam persidangan akhbar di jabatan tersebut di Kuala Lumpur malam tadi.

Badan petugas khas

Pemungut hutang memang terkenal menggunakan kekerasan terhadap peminjam sehingga mengakibatkan ada peminjam yang bertindak membunuh diri, ada antaranya bersama anggota keluarga mereka kerana tidak tahan dengan gangguan Ah Long.

Menurutnya, satu pasukan petugas khas mengandungi anggota daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri serta Jabatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah telah juga ditubuhkan untuk menangani perniagaan pinjaman wang haram.

Katanya, pasukan petugas itu yang ditubuhkan pada 28 Disember lalu, kini sedang mengemaskini perniagaan pinjaman wang sah untuk memudahkan pemantauan aktiviti mereka.

Pasukan petugas itu juga membanteras kegiatan Ah Long, satu proses yang dilakukan secara mudah melalui pendaftaran prabayar telefon bimbit, katanya.