Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati di Rawang, Selangor tiga tahun lalu mahu melancarkan saman sivil terhadap polis dan kerajaan.

Tindakan undang-undang itu juga bertujuan untuk memaksa pihak berkuasa mengesan lokasi G Moganambal, isteri kepada salah seorang mangsa yang hilang susulan kejadian pada 2019.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, M Visvanathan memberitahu Malaysiakini demikian susulan keputusan inkues Mahkamah Koroner Shah Alam semalam yang mendapati bahawa terdapat salah guna kuasa semasa kejadian tembakan maut, tiga tahun lalu.

"Ya, kami sedang bersiap sedia untuk memfailkan saman sivil," kata peguam itu, sambil menambah bahawa tindakan undang-undang juga akan menuntut supaya pihak mengesan Moganambal.

M Visvanathan, Peguam

Tiga lelaki yang ditembak mati ialah G Thavaselvan, 31, S Mahendran, 23, dan warga Sri Lanka J Vijayaratnam, 40. Moganambal pula adalah isteri Vijayaratnam.

Visvanathan mendakwa bahawa polis tidak pernah menjalankan sebarang siasatan untuk mengesan Moganambal.

“Tiada sesiapa yang datang ke mahkamah untuk menyatakan tahap siasatan. Ibu (Moganambal) kebingungan.

“Dia (Moganambal) pulang dari UK untuk melawat ibunya bersama anak-anak dan suaminya beberapa hari sebelum kejadian (tembakan).

"Sekarang suaminya sudah mati dan dia pula hilang," kata peguam itu.

Semalam, Koroner Rasyihah Ghazali memutuskan bahawa polis bukannya membalas tembakan untuk mempertahankan diri dalam kejadian di Jalan Batu Arang, Rawang, kira-kira jam 5 pagi pada 14 Sept 2019.

Dia berkata terdapat unsur jenayah dalam kes itu dan penyalahgunaan kuasa oleh polis.

Polis mendakwa ketiga-tiga yang terbunuh itu adalah suspek kes samun, dan berlaku insiden kejar-mengejar diikuti dengan tembak-menembak, dan pihak berkuasa hanya melepaskan tembakan sebagai tindak balas.

Vijayaratnam, yang menetap di UK adalah abang ipar kepada Thavaselvan, dan berada di Malaysia bersama isteri dan tiga anaknya untuk melawat. Mahendran pula adalah rakan Thavaselvan.

Bagaimanapun, ahli keluarga Thavaselvan dan Janarthanan mempertikaikan versi polis mengenai kejadian itu dan mendakwa kemungkinan berlaku kecuaian.

Mereka mendakwa bahawa ketiga-tiga lelaki itu, bersama isteri Janarthanan, G Moganambal, keluar untuk makan malam pada hari sebelum kejadian dengan menaiki kereta Perodua Alza dan bukannya Volkswagen Polo seperti yang didakwa polis.

Keluarga itu juga meminta polis menyiasat dan mendedahkan apa yang berlaku kepada Moganambal yang dikatakan hilang sejak itu.

[Baca berita penuh]