Pendirian PAS untuk terus bekerjasama dengan Umno di Selangor menerusi Muafakat Nasional (MN) bukanlah isyarat PAS mahu meninggalkan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Sebaliknya, Muhammad Faiz berkata Bersatu faham hasrat PAS itu adalah untuk menyatukan blok-blok besar parti politik yang berasaskan “Melayu-Islam-Bumiputera” di negara ini semata-mata.

"Kerjasama PAS dengan Umno dalam MN tidak pernah menjadi isyarat kononnya PAS telah meninggalkan Bersatu.

"Kerana kami faham hasrat murni PAS untuk menyatukan blok-blok besar parti politik yang berasaskan Melayu-Islam-Bumiputera di negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Faiz berkata demikian mengulas kenyataan PAS Selangor bahawa kerjasama PAS-Umno menerusi MN di Selangor hampir lengkap dan hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti sahaja.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini berkata perbincangan yang dimulakan sejak awal penubuhan MN di peringkat pusat itu kini berjalan dengan baik.

Kenyataan Roslan itu dibuat susulan pertemuan PAS dengan Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar yang menegaskan bahawa partinya dan PAS di Selangor mesti bekerjasama untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Menurut Noh yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi, sekiranya kerjasama itu terbentuk, Umno dan PAS mampu memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut pendirian PAS itu, Muhammad Faiz berkata Bersatu dari awal lagi telah sedia maklum dengan pendirian dan kecenderungan PAS.

"Pendirian dan kecenderungan PAS Selangor dalam memilih rakan politiknya telah kami sedia maklum sejak awal lagi dan kami tidak pernah mempertikaikan tindakan mereka itu.

"Kerana kami tetap menghormati pendirian PAS Pusat yang masih teguh bersama PN," katanya.

Bagaimanapun, diminta mengulas isu sama, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tidak menjawab secara langsung.

Dia sebaliknya berkongsi berpandangan bahawa dalam keadaan negara dan rakyat yang berdepan pelbagai tekanan, kepimpinan parti politik tidak seharusnya terus berpolitik.

Sebaliknya, tegas Faizal yang juga menteri belia dan sukan adalah elok untuk mereka bersatu dan memberikan tumpuan kepada usaha meringankan bebanan itu.

"Saya berpandangan, dalam waktu rakyat sedang dihimpit dengan bebanan kos barangan keperluan yang meningkat, pemulihan ekonomi rakyat yang perlu ditangani, elok semua pemimpin memberi tumpuan kepada usaha meringankan bebanan itu.

"Setiap pemimpin perlu mencontohi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang kekal fokus kepada usaha penyelesaian masalah rakyat," katanya.

Bagaimanapun, jelas Faizal akan tiba masanya nanti untuk kepimpinan parti membuat keputusan masing-masing.

"Akan tiba masanya untuk rakan-rakan kepimpinan parti untuk membuat keputusan masing.

"Tapi, kini adalah masa untuk kita sama-sama berganding bahu bekerja dan berusaha memperbaiki keadaan sedia ada.

"Kita semua perlu kurangkan berpolitik kalau nak selesaikan masalah rakyat. Semua pihak mesti bekerjasama," tegasnya lagi.