Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) tidak lagi menjual buku `Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya' sejak ia diharamkan oleh pihak berkuasa agama negeri bulan lalu.

"Kita telah menarik balik buku itu dan pengedarnya memulangkannya kepada Rufaqa. Sebahagian daripada diberikan kepada pelajar pusat pengajian tinggi kerana mereka mahu membuat kajian," kata Pengarah Penerbitan Rufaqa, Zaini Othman kepada malaysiakini.

Kelmarin, KDN mengumumkan pengharaman buku tulisan isteri Ashaari Khadijah Aam itu bersama dua lagi buku tulisan bekas pemimpin Al-Arqam itu terbitan Minda Ikhwan berkuatkuasa 14 Disember lalu.

Buku tersebut bertajuk Tsunami Pembawa Mesej dari Tuhan (Ashaari Muhammad dan Khatijah Aam) dan Pendidikan Rapat dengan Rohaniah Manusia (Ashaari Muhammad, Penerbitan Minda Ikhwan).

Turut diharamkan ialah buku mengenai bekas pemimpin Al Arqam iaitu `Mengapa Sebahagian Bekas Pemimpin Arqam Menentang Haji Ashaari' oleh Dr Mohd Noor Mohd Basir dan Alifi Alias yang diterbitkan Perniagaan Mata Angin.

Menurut laporan, kandungan buku `Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya' mendakwa Ashaari sebagai Putera Bani Tamim yang mampu bertemu dan berkomunikasi dengan Rasulullah s.a.w serta diberi kuasa untuk memanggil duit, "power" serta segala keperluannya.

Ashaari adalah Pengerusi Eksekutif Rufaqa dan menguasai kira-kira 75 peratus pegangan saham dalam syarikat perniagaan tersebut.

Tiada arahan rasmi

Selain di Malaysia, Rufaqa juga mempunyai rangkaian perniagaan di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.

Menurut Zaini, tiga buku lagi masih dijual secara terbuka di pasaran dan pihaknya akan menemui pegawai kementerian berkenaan sebelum membuat keputusan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya sukar untuk membuat keputusan mengenai tiga buku tersebut kerana sehingga hari ini masih belum mendapat arahan rasmi pengharamannya dari KDN

"Kami tidak mendapat sebarang berita dan arahan dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri," katanya ketika dihubungi ketika diminta mengulas pengharaman buku-buku tersebut,

Pihak berkuasa agama negeri, khususnya Selangor mendakwa Rufaqa terbabit dalam usaha untuk menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berkata buku-buku tersebut adalah antara 18 penerbitan yang diharamkan antara 12 Oktober dan 24 Disember lalu kerana didapati mengandungi bahan yang menyentuh kesucian agama Islam atau fakta yang menyeleweng, menyesat akidah, menghina Nabi dan Rasul.

Menurut kenyataan itu perintah larangan penerbitan itu dibuat mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Perintah di bawah akta itu memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.