Polis patut buka semula siasatan kes bunuh Altantuya, kata Karpal Singh
Polis digesa supaya membuka semula siasatan kes pembunuhan ngeri model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berikutan pendedahan afidavit Abdul Razak Abdullah Baginda di Mahkamah Tinggi minggu lalu.
Polis digesa supaya membuka semula siasatan kes pembunuhan ngeri model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berikutan pendedahan afidavit Abdul Razak Abdullah Baginda di Mahkamah Tinggi minggu lalu.
Ketika membuat gesaan itu, peguam kanan Karpal Singh berkata, pendedahan mengejutkan dalam afidavit untuk menyokong permohonan ikat jamin Abdul Razak itu membuat perlunya polis membuka semula siasatan.
"Tidak disangsikan penyiasatan boleh, mengikut undang-undang, dilakukan malahan selepas tertuduh didakwa di mahkamah atau dalam kes ini semasa perbicaraan," kata Karpal.
Beliau yang juga peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan semalam, demikian menurut laporan Bernama.
Katanya, afidavit penganalisis politik itu yang dibacakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu, adalah prima facie yang bermaksud pengakuan keterlibatan dalam jenayah itu.
"Kenyataan Abdul Razak ialah kenyataan bersumpah dan boleh diterima sebagai keterangan sepertimana diberikan dari kotak saksi secara bersumpah. Keterangan dalam afidavit itu lebih kukuh daripada kenyataan beramaran yang tidak diberikan secara bersumpah," kata Karpal Singh.
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman dalam pembunuhan Altantuya, 28, di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Rekod kenyataan
C/Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya di satu kawasan di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober.
Karpal Singh berkata juga perlu disiasat kenyataan Abdul Razak dalam afidavitnya bahawa Azilah pernah mengaku kepadanya yang dia pernah membunuh enam hingga tujuh orang.
"Kenyataan pembabitan ini diperkukuhkan lagi dengan hakikat bahawa Azilah ialah Ketua Inspektor yang ditugaskan di Unit Tindakan Khas," katanya.
Beliau juga berkata, polis sepatutnya dengan serta merta merekodkan kenyataan daripada Pesuruhjaya Sumpah yang mengesahkan afidavit Abdul Razak, atas alasan bahawa beliau (pesuruhjaya) akan menjadi saksi yang amat penting bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan itu.
Pada 19 Januari, Hakim Datuk K N Segara menolak permohonan rasmi Abdul Razak bagi diikat jamin atas alasan beliau tidak mengemukakan laporan perubatannya dan pertuduhan yang dihadapinya adalah serius.
Mahkamah menetapkan 10 Mac, tahun depan bagi perbicaraan kes itu.

