Kerajaan Singapura berhak mengambil deposit pertaruhan sebanyak lima peratus dari pelaburan pembangunan atau kira-kira S$200 juta (RM400 juta) bagi setiap "Resort World at Sentora" sekiranya syarikat Malaysia yang mengendalikannya gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dua syarikat Malaysia itu ialah Konsortium Genting International dan Star Cruises Malaysia yang memenangi bida bagi membina projek resort bersepadu (IR) itu di Pulau Sentosa, jumlah pelaburan S$5.2 bilion (RM10b).

"Jika perlu, Kerajaan boleh juga menuntut kembali tanah IR," kata Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Lim Hng Kiang di Parlimen semalam, ketika menjawab soalan ahli Parlimen wanita bagi kawasan GRC Ang Mo Kio, Lee Bee Wah.

Pengendali IR mesti memulakan pembinaan dalam tempoh tiga tahun dan menyiapkan pembinaan dalam tempoh lapan tahun dari tarikh perjanjian pembangunan ditandatangani, demikian menurut laporan Bernama.

Terdahulu, Lee Bee Wah bertanyakan Lim tentang mekanisme bagi memantau kemajuan kerja projek resort berkenaan demi mempastikan kontrak dipatuhi, dan jalan penyelesaian jika syarikat-syarikat berkenaan gagal memenuhi syarat-syarat kontrak.

Lim berkata obligasi pengendali dua resort itu Genting on Sentosa Island, dan Las Vegas Sands Corp di Marina Bay digariskan dengan jelas dalam permintaan bagi cadangan dan perjanjian pembangunan.

"Dua pengendali resort itu (IR) terikat dengan kontrak bagi menyiapkan seluruh konsep IR dan semua komponen IR sebagaimana dibutirkan dalam cadangan yang diterima. Sebarang perubahan kepada cadangan itu memerlukan kelulusan kerajaan," kata beliau.

Pelaburan di Malaysia

Lee turut membangkitkan isu berhubung pelaburan Singapura di Malaysia dan sama ada ia disambut baik, terutama di Johor.

Katanya, Singapura telah menganugerahkan projek resort bersepadu di Pulau Sentosa kepada syarikat Malaysia, tetapi bertanya sama ada pelaburan Singapura kini lebih dialu-alukan di Malaysia, terutama di SJER (Wilayah Ekonomi Johor Selatan).

Lim menjelaskan bagaimanapun keputusan menganugerahkan Sentosa IR kepada sebuah syarikat Malaysia semata-mata berdasarkan merit cadangan.

"Kita juga berharap jiran kita akan menyambut baik pelaburan Singapura berdasarkan meritnya".

Bulan lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata terdapat "isyarat berbelah bagi" khususnya dari Johor mengenai penyertaan Singapura di negeri itu.

Beliau melahirkan harapan isyarat seumpama itu akan diperjelaskan tidak lama lagi agar pelaburan boleh mengalir.

Malaysia bagaimanapun menjelaskan bahawa SJER, kini dipanggil Wilayah Pembangunan Iskandar bukan anti-Singapura, dengan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menyatakan bahawa projek itu terbuka kepada pelabur asing.