Lima hari lagi menjelang hari pengundian bagi pilihanraya kecil Batu Talam, ramai pemilih di kawasan tersebut berkata mereka belum pernah bertemu muka dengan calon bebas, Ng Chee Pang.

Malah poster Ng juga tidak kelihatan dan ini menimbulkan tandatanya di kalangan penduduk mengenai status Ng dalam pilihanraya kecil kali ini.

Tinjauan malaysiakini ke Batu Talam, Sabtu lalu mendapati rata-rata pengundi tidak pernah melihat wajah Ng melainkan semasa penamaan calon di Pejabat Daerah Raub pada 16 Januari lalu.

Dalam pilihnaraya kecil Ahad ini, Ng bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Mat Kiram. Pilihanraya tersebut diadakan berikutan kematian wakil BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu.

Semua tempat dipenuhi dengan poster pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Abdul Aziz.

Seorang peneroka Felda Tersang, Abdul Razak Bedu (foto) berkata, Ng tidak pernah datang ke tanah rancangannya untuk menemui pengundi dan kerana itulah mereka tidak mengenali calon bebas tersebut.

Katanya, ramai peneroka yang tertanya-tanya sama ada Ng masih bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam atau sebaliknya.

"Kalau tidak datang ke tempat kita, bagaimana orang hendak memilih beliau pada hari mengundi nanti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak pernah jumpa

Rakannya, Rosyati Sidek (foto) berkata, beliau tidak pernah nampak muka Ng walaupun hari pengundian semakin hampir.

Sebaliknya, kata beliau, calon BN (Abdul Aziz) yang selalu datang ke tempatnya bersama pemimpin BN yang lain.

Manakala penduduk Kampung Cheroh, Anuar Abdul Kadir berkata, bukan sekadar pengundi Melayu, malah pengundi Cina juga tidak pernah menemui calon bebas tersebut.

"Jika bersua di jalan pun saya tidak kenal Ng. Jika serius bertanding, beliau perlu lebih kerap bertemu pengundi, apatah lagi dengan hari mengundi semakin hampir," katanya Anuar (foto).

Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, beliau tetap menjalankan kempen seperti biasa walaupun ramai pengundi di Batu Talam dijangka mengundi BN.

"Apa yang dirancangkan telah kami lakukan, seperti kempen dari rumah ke rumah serta ceramah berkelompok dan sambutan yang diterima amat menggalakkan," tambahnya.

Beliau berkata, beliau dan jentera pilihanraya BN akan menggiatkan kempen bagi memastikan seramai mungkin pemilih di Batu Talam keluar mengundi