PAS Raub mengesah ada ahlinya di Felda Tersang telah menyertai Umno tetapi menafikan jumlahnya lebih 300 orang seperti yang dilaporkan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Suhaimi Saad berkata, pihaknya sedang menyiasat jumlah sebenar ahlinya di Felda Tersang yang menyertai Umno.

Katanya, PAS mempunyai 300 ahli di Felda Tersang dan menurut maklumat awal yang diperolehinya, cuma sebilangan kecil yang menyertai Umno.

"Tidak mungkin semua ahli PAS Felda Tersang menyertai Umno kerana kita baru mengadakan mesyuarat peringkat zondan ramai ahli dari kawasan berkenaan yang hadir.

"Saya percaya angkanya kecil tetapi untuk mendapat kepastian siasatan sedang dibuat...mungkin mengambil masa beberapa hari," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini untuk mengulas mengenai laporan yang menyebut lebih 300 ahli PAS telah menyertai Umno dalam satu majlis Ahad lalu.

Mereka dilapor menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Umno kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis di Dewan Sekolah Menengah Felda Tersang Satu dalam kawasan pilihanraya Batu Talam.

Pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Mat Kiram dengan calon bebas, Ng Chee Pang.

Bagaimanapun, kata Suhaimi, ia tidak menjejaskan PAS Raub kerana mereka yang menyertai Umno itu merupakan `orang yang bermasalah' dengan parti.

Tidak sesuai

"Lebih bagus mereka meninggalkan PAS kerana cara hidup mereka tidak sesuai dengan perjuangan parti kami," katanya.

Beliau berkata, walaupun ahli PAS, tetapi pada masa sama, mereka juga menganggotai Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah (Pekida) yang sebahagian besar ahlinya terdiri daripada ahli Umno.

"Jumlah keseluruhan ahli PAS di Batu Talam ialah 1,200 orang dan 300 daripadanya adalah dari Felda Tersang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata, PAS Raub telah memberitahu ahlinya di Batu Talam supaya memboikot hari mengundi Ahad ini.

Katanya, ia selaras dengan keputusan parti yang memboikot pilihanraya tersebut. Parti Keadilan Rakyat (KR) juga turut memboikot pilihanraya Batu Talam.

"Selain itu, kita juga mengadakan ceramah di sekitar Batu Talam untuk menerangkan kepada orang ramai, khususnya ahli parti, mengenai keputusan PAS memboikot pilihanraya kecil tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Mejar (B) Abdul Aziz Yaakob berkata, cara BN berkempen dengan `berkampung'di sekitar Batu Talam telah `menganggu' penduduk kampung.

"Sesetengah mereka menyanyi karaoke dan ini amat tidak sesuai dengan penduduk Batu Talam yang rata-ratanya petani dan bekerja sendiri," dakwanya.