AIM kecam polis guna kekerasan
Amnesty International Malaysia (AIM) mengecam tindakan polis menggunakan kekerasan yang berlebihan dalam satu demonstrasi aman membantah kenaikan kadar tol lebuhraya, Ahad lalu.
Amnesty International Malaysia (AIM) mengecam tindakan polis menggunakan kekerasan yang berlebihan dalam satu demonstrasi aman membantah kenaikan kadar tol lebuhraya, Ahad lalu.
Tindakan tersebut telah menyebabkan beberapa individu mengalami kecederaan serius, kata Pengarah Eksekutifnya, Josef Roy Benedict.
"Kami turut mengutuk tindakan polis menangkap 21 orang sedangkan mereka sedang bersurai dari situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Josef berkata, AIM melihat tindakan tersebut sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan tidak menghormati hak rakyat untuk mengadakan demonstrasi aman dan hak mereka daripada menerima layanan tidak berperikemanusiaan dan yang menjatuhkan maruah mereka.
Katanya, hak untuk mengadakan berhimpunan dan kebebasan daripada layanan yang tidak berperikemanusiaan, adalah dijamin di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB dan perlembagaan Malaysia.
"Tambahan lagi, Kod PBB mengenai Tatacara Pegawai Penguatkuasa Undang-undang menyatakan dalam Artikel 5 bahawa pegawai penguatkuasa tidak boleh menyebabkan, menghasut atau membiarkan sebarang tindakan menyeksa atau kekejaman yang lain, tindakan tidak berperikemanusiaan atau hukuman atau menggunakan arahan atau keadaan tertentu seperti ancaman kepada keselamatan negara untuk menjustifikasikan tindakan yang diambil," katanya.
Suara kebimbangan
Sehubungan, beliau berkata, AIM juga ingin menyuarakan kebimbangannya terhadap gangguan dan gertakan terhadap wartawan lamanweb malaysiakini.com.
AIM, katanya, melihat tindakan tersebut sebagai satu usaha untuk menjejaskan kemampuan pihak media untuk membuat laporan tanpa gangguan dan campurtangan.
Oleh itu, AIM menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya menjalan siasatanterperinci mengenai insiden tersebut.
"Kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya melaksanakan segera cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Polis.
"Akhir sekali, kami ingin menggesa pihak polis supaya menghormati tugas dan fungsi media dan hak mereka untuk membuat liputan tanpa sebarang gertakan dan gangguan," katanya Josef.

