Ketua pengarang Mkini berucap di persidangan media WEF
Ketua Pengarang malaysiakini, Steven Gan akan berucap di persidangan media antarabangsa di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang akan berlangsung Davos, Switzerland minggu ini.
Ketua Pengarang malaysiakini, Steven Gan akan berucap di persidangan media antarabangsa di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang akan berlangsung Davos, Switzerland minggu ini.
Beliau adalah antara 100 pendukung media dunia yang dipilih untuk menganggotai Majlis Media Antarabangsa WEF.
"Ia merupakan satu penghormatan bagi saya kerana terpilih sebagai ahli majlis tersebut," kata Gan.
"Memandangkan media memainkan peranan penting dalam membentuk peristiwa global, maka ia juga merupakan satu tanggungjawab yang amat besar. Saya menerimanya sebagai satu peluang unik untuk membincangkan isu-isu penting dengan mereka yang berkuasa di dunia," katanya.
Majlis Media Antarabangsa (IMC) itu baru tubuhkan oleh para penganjur WEF. Lebih 3,000 wartawan dari seluruh dunia diminta mencadangkan calon ahli majlis tersebut dan 900 pencalonan telah diterima.
Senarai akhir dipilih oleh jawatankuasa khas. Gan adalah satu-satunya wartawan dari Asia Tenggara yang dipilih menganggotai majlis itu, dan merupakan salah seorang daripada sembilan orang yang dipilih dari rantau Asia.
Ahli IMC yang lain termasuklah Arther Sulzberger Jr dari New York Times, Bob Woodward (Washington Post), Christiane Amanpour (CNN) dan Eric Schmidt (Google).
IMC akan berinteraksi dengan pertubuhan lain dalam WEF Majlis Perdagangan Antarabangsa (100 tokoh perniagaan), Pemimpin Perhimpunan Ekonomi Dunia (50 ketua negara dan tokoh politik) dan Pemimpin Muda Global (pemimpin dari pelbagai lapisan hidup berusia di bawah 40 tahun).
Mesyuarat IMC yang diadakan sempena dengan aktiviti lain WEF dari 24-28 Januari akan memfokus kepada pertembungan antara media lama dan baru.
Gan adalah antara mereka yang akan berucap di sesi pembukaannya yang bertemakan "Soalan Lama, Jawapan Baru' yang menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh media baru dan lama.
Beliau juga akan menjadi anggota panel sesi bertajuk perbincangan yang bertajuk "Kewartawan sudah mati Sepanjang Umur pada para wartawan' yang menerokai bidang kewartawan dalam dunia media yang baru.
Pertemuan dengan Gates, Soros
"Saya menganggap malaysiakini dipilih kerana kami merupakan media baru dengan mewarisi kewartawan lama," kata Gan.
"Terdapat banyak keterangsangan serta gembar-gembur mengenai potensi media baru. Ramai daripada kita para wartawan yang berdepan dengan kesukaran berhijrah dari media lama kepada media baru masih lagi mencuba untuk memahami perubahan pantas di sekeliling kita," katanya.
Gan juga akan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat tidak rasmi, termasuk menghadiri sarapan pagi dengan Bill Gates dari Microsoft dan isterinya Melinda, serta makan tengahari dengan George Soros (foto).
WEF akan berlangsung di Davos sebuah pusat peranginan tanah tinggi di Switzerland yang telah menjadi tempat pertemuan pemimpin dunia yang komited untuk 'memastikan keadaan yang baik untuk semua orang'.
Tema forum tahun ini ialah 'Membentuk Agenda Global Peralihan Kedudukan Kuasa'. Lebih 2,400 pemimpin global, antaranya 800 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), akan bermesyuarat selama lima hari di Swiss Alpine
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dijadual berucap di forum tersebut mengenai isu Islam dan globalisasi.

