Boikot praya punca ahli PAS Tersang keluar parti
Seramai 24 ahli PAS Felda Tersang bertindak meninggal parti itu dan menyertai Umno kerana kecewa dengan keputusan PAS pusat memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, kata Ketua Umno cawangan Felda Tersang, Ahmad Salleh.
Seramai 24 ahli PAS Felda Tersang bertindak meninggal parti itu dan menyertai Umno kerana kecewa dengan keputusan PAS pusat memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, kata Ketua Umno cawangan Felda Tersang, Ahmad Salleh.
Katanya, mereka telah menyerahkan borang keahlian Umno kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di suatu majlis di Sekolah Menengah Felda Tersang Satu, Ahad lalu.
"Dari maklumat yang kita terima, 50 lagi ahli PAS Tersang akan menyerahkan borang memohon menjadi ahli Umno menjelang hari pengundian Ahad ini," katanya kepada
malaysiakini
hari ini.
Selain ahli PAS, Umno Felda Tersang turut menerima 37 borang permohonan dari penduduk setempa untuk menjadi ahli Umno.
Semalam, Yang Dipertua PAS Raub, Suhaimi Saad mengaku ada ahlinya di Felda Tersang yang telah menyertai Umno tetapi menjelaskan jumlahnya tidak ramai.
Suhaimi berkata, mereka yang menyertai Umno itu merupakan ahli PAS tetapi pada masa sama turut menganggotai Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang sebahagian besarnya ahli Umno.
Bukan ahli Pekida
Bagaimanapun, Ahmad yang menjadi Ketua Umno Cawangan Felda Tersang sejak enam tahun lalu berkata, ahli PAS terbabit bukan anggota Pekida.
"Ahli PAS tersebut sendiri mengaku bahawa mereka tidak pernah menganggotai Pekida. Berdasarkan pengalaman saya. ahli PAS tidak akan menyertai sebarang pertubuhan yang turut dianggotai oleh ahli Umno," katanya.
Ahmad berkata, Umno akan terus mengadakan kempen bagi menarik lebih ramai ahli PAS di Felda itu untuk menyertai Umno.
Pilihanraya kecil Batu Talam akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Kiram dengan calon bebas, Ng Chee Pang.
Ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di tanah rancangan tersebut, beliau menyifatkan parti itu seperti `hidup segan mati tidak mahu.'
"Sebelum ini ada sebuah cawangan PKR di Felda Tersang Tiga tetapi telah dibubarkan beberapa tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, walaupun ada usaha untuk menghidupkan semula parti itu di kawasan Felda tersebut tetapi tidak berjaya.

