Wanita PKR: Praya Batu Talam kes penentu bagi SPR
Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pilihanraya kecil Batu Talam Ahad ini akan menjadi 'kes penentu' sama ada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mampu membebaskan diri daripada cengkaman politik Umno dan Barisan Nasional (BN).
Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pilihanraya kecil Batu Talam Ahad ini akan menjadi 'kes penentu' sama ada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mampu membebaskan diri daripada cengkaman politik Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ketuanya, Fuziah Salleh mendakwa, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa 90 peratus pengundi akan keluar mengundi dan Umno yakin menang dengan majoriti melebihi 3,000 undi "adalah pertanda akan berlaku kepincangan besar dalam pilihanraya kecil Batu Talam (Ahad ini)."
Malah, katanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman sendiri telah membuat kenyataan bahawa pilihanraya di Malaysia tidak telus dan tidak bebas serta media juga dikawal, di samping mencadangkan suruhanjaya bebas pilihanraya ditubuhkan.
Dalam kenyataan hari ini, Fuziah berkata, kenyataan tersebut adalah berdasarkan justifikasi berikut:
1. Menurut keputusan pilihanraya umum ke-11 2004, jumlah pengundi di Batu Talam ialah 10,866 orang. Calon BN menang dengan majority 2,761. PAS telah mendapat hampir 30 peratus sokongan pengundi. Ini bermakna 30 peratus pengundi yang layak mengundi, akan memboikot pilihanraya kecil kali ini.
2. Tinjauan serta kaji selidik parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan bilangan besar pengundi Batu Talam faham boikot itu untuk mendesak satu sistem pilihanraya bebas dan adil daripada penyelewengan dan campurtangan politik. Maka dipercayai mereka akan menuntut hak mereka terhadap SPR untuk melaksanakan dasar tersebut
3. Pengundi atas pagar juga tidak menunjukkan minat untuk keluar mengundi kerana merasa undi mereka tidak diperlukan dalam keadaan Umno menjangka kemenangan senang calon mereka di samping calon hingusan dari bebas.
"Dengan tegas, barisan parti pembangkang akan memantau secara teliti dan rapi jumlah dan aliran para pengundi pada hari mengundi pada 28 Januari 2007.
"Demi maruah dan nama baik mereka, SPR mesti memenuhi tuntutan melaksanakan reformasi pilihanraya agar ianya bersih, bebas dan telus," katanya.

