Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh menolak cadangan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin agar kementerian baru diwujudkan jika Zuraida Kamaruddin mahu dikekalkan sebagai menteri.

Wong berkata cadangan itu adalah usaha mewujudkan jawatan yang hanya akan menguntungkan ahli politik dengan menggunakan wang rakyat.

“Di mata Muhyiddin, nampaknya tak mengapa untuk jejaskan kepentingan negara dan rakyat dalam perebutan kuasa antara Umno dan Bersatu.

"Negara sedang menghadapi peningkatan harga barang yang belum pernah berlaku sebelum ini, namun Muhyiddin hanya berminat mewujudkan kementerian baru sebagai jalan pintas menangani perbalahan kuasa dan jawatan," kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Kedudukan Zuraida dalam kabinet menjadi persoalan selepas dia mengambil keputusan meninggalkan Bersatu bulan lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Setakat ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih belum menemui Zuraida mahupun Muhyiddin untuk menyelesaikan itu berkenaan.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu semalam berkata Ismail berhak mengekalkan Zuraida sebagai menteri, asalkan kuota menteri untuk Bersatu dikekalkan.

"Manalah tahu dia (Ismail Sabri) nak wujudkan satu kementerian untuk Zuraida, jadi apa pun tu hak dia," kata bekas perdana menteri itu.

Kabinet di bawah pentadbiran Ismail dan Muhyiddin sebelum ini mempunyai seramai 32 menteri penuh, berbanding 28 menteri semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Portfolio tambahan dicipta dengan memujudkan beberapa kementerian, dengan Wong menyifatkan langkah itu sebagai mencipta "jawatan".

Wong merupakan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.