Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendengar pandangan daripada tiga Adun mereka di kawasan parlimen Puncak Borneo sebelum membuat apa-apa ketetapan berhubung permohonan Willie Mongin untuk menyertai parti berkenaan.

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pandangan Adun Tarat, Roland Sagah Wee Inn, Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) akan diambil kira sebelum perkara itu diputuskan.

“Mereka (Majlis Tertinggi PBB) juga perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di kawasan itu,” katanya kepada media selepas melancarkan pertandingan Miss Tourism International Friendship Pathway di Lundu hari ini.

Isnin lepas, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan menjadi ahli parti Bersatu, mengesahkan bahawa dia menghantar permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lepas.

Ahli Parlimen Puncak Borneo itu mendakwa bahawa selama ini dia hanya diletakkan dalam parti Bersatu "secara teknikal” bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada PRU ke-14 atas tiket PKR, namun diketepikan oleh parti itu selepas menyertai beberapa ahli parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa “Langkah Sheraton”.

Mereka kemudian menyertai Bersatu.

- Bernama