Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata cadangan agar parti itu menggunakan logo sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang merupakan pandangan peribadi.

"Itu pandangan peribadi. Sekarang ini kita masih menggunakan simbol PN (Perikatan Nasional)," katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyokong cadangan agar parti itu kembali menggunakan logonya sendiri pada PRU akan datang.

Menurut Hashim, imej ‘bulan’ selama ini diketahui bersih sekali gus berkelebihan membantu memenangkan calon-calon bertanding.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, lambang PN, ada yang keliru apabila orang ingat lambang tersebut Barisan Nasional (BN)," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Ketika PRN Melaka dan Johor, PAS menggunakan logo PN.

Di Melaka, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi, namun berjaya menyelamatkan wang deposit di kesemua 8 kerusi yang ditandinginya.

Prestasi itu dilihat lebih baik berbanding PRU 2018 apabila parti itu hilang wang deposit di 10 kerusi DUN di Melaka.

Di Johor, PAS tewas di kerusi Bukit Pasir, namun berjaya menawan semula kerusi Maharani yang dimenangi Amanah pada 2018.

Bagaimanapun, Hashim berkata terserah kepada Majlis Presiden PN untuk membuat keputusan mengenai pemilihan logo yang bakal digunakan pada PRU15.

"Apa pun, putuskanlah segalanya secara bersama dalam Majlis Presiden PN,” katanya.

Sebelum ini, Utusan melaporkan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berkata parti itu perlu diberi kelonggaran untuk menggunakan logo sendiri di kubu kuatnya atau kerusi yang berpotensi menang terutama di pantai timur.

PAS bukan satu-satunya parti yang menyalahkan logo sebagai punca kekalahannya di kerusi tertentu.

Sebelum ini parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Pejuang juga mendakwa logo yang kurang dikenali sebagai punca prestasi buruk parti itu pada PRN Johor.