Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada bukti, jejak wang' - Lim nafi terima rasuah
Diterbitkan:  Jun 24, 2022 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyifatkan keterangan mahkamah yang mendakwa dia meneriam rasuah adalah tidak benar dan "semata-mata satu rekaan".

Dia merujuk keterangan pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bahawa dia tersenyum apabila menerima RM200,000 daripadanya, berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

"Saya ingin menegaskan sebarang kenyataan oleh saksi yang menekankan saya menerima wang adalah tidak benar, ia semata-mata satu rekaan.

"Saya tak menerima satu sen. Ini jelas kerana tak ada sebarang jejak wang (money trail), sama ada dalam bentuk wang tunai atau dalam akaun bank saya.

"Langsung tidak ada wang sebagaimana yang mereka dakwa," katanya di Facebook hari ini.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Ketika perbicaraan semalam, Zarul yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 mendakwa wang itu diberikan sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2014.

Dia juga mendakwa merasa "terkejut" apabila Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan yang bakal diraih daripada projek itu.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata dakwaan itu adalah konspirasi politik kerana pada masa ini tiada seorang pun ahli politik yang didakwa jika tiada jejak wang, mahupun bukti audio atau video yang dia pernah meminta rasuah.

"Saya akan serahkan kepada peguam untuk membongkarkan 'fitnah' ini pada (perbicaraan) Isnin," katanya lagi.

Lim didakwa empat pertuduhan rasuah berhbung projek itu.

Selain wang tunai, Zarul juga hari ini berkata dia turut membelikan jam tangan berharga RM43,000 sebagai hadiah hari lahir Lim pada 2015.

Lihat Komen
ADS