Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk mendengar permohonan untuk membatalkan saman malu terhadap blogger Ahirudin Attan terlebih dahulu, sebelum mendengar permohonan injunksi yang difailkan oleh New Straits Times Press (NSTP) terhadap Ahirudin.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Hishamuddin Yunus dalam dalam kamarnya selepas 45 minit mendengar hujah kedua belah pihak. Beliau menetapkan ia didengar pada 22 Februari depan.

NSTP, Timbalan Pengerusinya, Datuk Kalimullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamudin Aun dan bekas Pengarang Kumpulan, Brendan telah memfailkan saman malu terhadap Ahirudin, yang mengendalikan blog Rocky's Bru .

Sekiranya Ahirudin berjaya dalam permohonannya itu, maka saman malu terhadapnya akan digugurkan.

Ahiruddin diwakili oleh peguam Edmund Bon, Malik Imtiaz Sarwar and Haris Ibrahim. Peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Rishwant Singh pula mewakili pihak plantif.

Penyokong hadir

Pendengaran hari ini adalah untuk mendengar permohonan pihak plantif untuk menghalang Ahirudin daripada terus menulis yang menghina mereka dan membuang 48 tulisan dalam blognya.

Lebih 20 penyokong hadir di luar mahkamah, termasuk blogger blogger Jeff Ooi yang juga turut disaman malu oleh NSTP.

NSTP telahpun mendapatkan injunksi sementara memerintah Ooi membuang 13 tulisan dalam blognya. Bagaimanapun, permohonan rasmi terhadap Ong akan didengar pada 30 Januari.

Plantif juga mengemukakan permohonan di mahkamah hari ini untuk membuang komen-komen berkaitan dengan saman malu itu yang disiarkan dalam blog Raja Petra Kamarudin Malaysia Today . Berita asal