Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendedahan Tajuddin boleh cetuskan perpecahan dalam Umno

Pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini boleh mengundang perpecahan luar biasa dalam parti itu sekiranya tidak ditangani dengan baik, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub, berkata pendedahan itu juga membuktikan terdapat dua kem yang dominan dalam Umno sekarang.

Justeru katanya tindakan segera perlu diambil memandangkan pendedahan tersebut boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada parti itu terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Ini merupakan satu jalan yang sukar dan berliku kepada Umno menjelang PRU15 akan datang.

"Tindakan segera perlu dilakukan bagi membersihkan Umno daripada parasit-parasit politik yang hanya memegang jawatan tertinggi tetapi hanya fikir tentang kepentingan peribadi mereka dan tidak melihat kepentingan parti.

"Jika tidak ditangani dengan baik, saya khuatir Umno tidak mampu mengembalikan kepercayaan rakyat serta pengundi yang sebelum ini merajuk dengan Umno pada PRU14," katanya kepada Malaysiakini.

Tawfik berkata demikian mengulas pendedahan Tajuddin pada Isnin lalu yang antara lain mendedahkan bahawa Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin Umno pernah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada 2020.

Selain itu dia juga mendakwa terdapat usaha dilakukan sekumpulan pemimpin kanan Umno untuk menyingkirkan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi seawal tahun 2020.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata rancangan itu gagal selepas timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas perdana menteri Najib Razak "membelot" daripada ketetapan yang dibuat.

Pendedahan itu dilakukan Tajuddin tidak berapa lama selepas dia dipecat sebagai ahli MKT oleh Ahmad Zahid.

Dalam sidang medianya, Tajuddin turut mendakwa Ahmad Zahid merupakan liabiliti kepada Umno dan menggesanya supaya meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga memberi amaran Umno akan kalah dalam PRU15 jika Ahmad Zahid kekal sebagai presiden parti.

Bukti wujud dua kem dominan

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata pendedahan itu juga mengukuhkan dakwaan bahawa wujudnya dua kem dalam Umno iaitu mereka yang berpihak kepada perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Kem 15 yang menyokong Ahmad Zahid.

Kem 15 merujuk kepada 15 ahli parlimen menyokong Ahmad Zahid dan membuat SD bagi menarik sokongan kepada bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin tahun lalu.

"Sebelum ini kita hanya dengan khabar angin (ura-ura) tentang wujudnya dua kem yang dominan iaitu kem Putrajaya dan kem 15 tetapi akhirnya satu persatu terdedah.

"Ini membuktikan dua kem yang dominan ini wujud dalam Umno.

"Dan jika tidak ditangani dengan baik oleh kepimpinan Umno, ini akan mengundang perpecahan yang luar biasa seperti mana yang berlaku sewaktu zaman Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri keempat ketika beliau menerajui Umno," katanya.

Dia berkata demikian merujuk perpecahan dalam Umno pada 1988 antara kumpulan Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah yang akhirnya menyaksikan parti itu diharamkan.

Lihat Komen
ADS