'Henti usir petani jika ikhlas mahu tangani isu keselamatan makanan'
Kerajaan harus menghentikan pengusiran petani dari tanah persekutuan jika ia benar-benar ikhlas dalam menangani isu keselamatan makanan negara, kata Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang.
Naib presiden PKR itu dalam satu kenyataan berkata, terdapat banyak kes di mana petani kecil terpaksa meninggalkan tanah yang mereka usahakan.
"Menurut perdana menteri, kerajaan akan memajak tanah kepada usahawan tani selama 30 tahun, atau lanjutkan lesen pendudukan sementara (TOL) petani. Kerajaan menganggap langkah tersebut akan memperkasa sekuriti bekalan makanan negara.
"Namun, kalau kerajaan ikhlas dalam mencari jalan penyelesaian, saya menggesa kerajaan agar hentikan segala pengusiran paksa ke atas petani yang sedang mengusahakan tanah dengan serta-merta.
“Arahan untuk memberhentikan pengusiran ini wajib dilaksanakan di semua peringkat, termasuk tanah kerajaan, tanah agensi kerajaan serta tanah kerajaan atau agensi kerajaan yang telah dipajak kepada syarikat swasta.
"Terdapat banyak kes pengusiran paksa ke atas petani-petani di dalam negara kita. Punca utama kejadian ini adalah tanah yang sedang diusaha oleh petani sering diberi kepada syarikat pemaju untuk projek perumahan atau perladangan besar-besaran. Kejadian seperti ini tetap berlaku walaupun petani sudah memohon tanah tersebut daripada kerajaan negeri selama bertahun-tahun," katanya.
Dua hari lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa semua kerajaan negeri di Malaysia telah bersetuju dengan tujuh inisiatif untuk memperkasakan keselamatan makanan negara, yang berdepan cabaran berikutan perkembangan global.
Ia termasuk memajakkan tanah negeri kepada usahawan pertanian melalui syarikat kerajaan negeri, dan lanjutan TOL untuk petani.
Chang dalam kenyataannya berkata kerajaan tidak perlu membuat dasar baru untuk membantu sektor pertanian.
Sebaliknya, tegas Chang, kerajaan hanya perlu menambah baik model pemberian tanah dan memastikan keutamaan diberikan kepada mereka yang mengusahakan tanaman berasaskan makanan.
"Kerajaan juga harus memastikan pajakan tanah kerajaan negeri atau agensi kerajaan diberikan kepada petani kecil dan bukan syarikat perladangan yang besar.
"Malaysia kini mempunyai 8 juta hektar tanah pertanian, tetapi kira-kira 6 juta hektar telah ditanam kelapa sawit. Jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, isu sekuriti makanan tidak akan diselesaikan sampai bila-bila.
"Sekiranya kerajaan enggan memberhentikan pengusiran paksa dan perbetulkan model pemberian tanah, pengumuman perdana menteri hanya semata-mata satu kenyataan politik yang bersifat hipokrit," katanya.

