Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad sedia saman Mahathir RM3 bilion
Diterbitkan:  Jun 30, 2022 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Speaker DUN Johor, Puad Zarkashi hari ini menawarkan diri untuk menyaman Dr Mahathir Mohamad berhubung kehilangan Pulau Batu Puteh.

Tawaran itu dibuat sebagai menyahut cabaran Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi agar tindakan undang-undang diambil ke atas “pengkhianatan” yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh dan terlepas ke tangan Singapura.

Kata Puad, walaupun Onn Hafiz tidak menamakan pengkhianat yang dimaksudkannya, namun jelas semua tahu bekas perdana menteri ketujuh, Mahathir Mohamad adalah individu yang bertanggungjawab di atas kehilangan tersebut.

Menurut Puad, memandangkan rayuan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak lagi boleh difailkan, ADUN Rengit itu berkata Ahli Parlimen Langkawi itu perlu diberi pengajaran.

"Sebagai pengajaran kekal, Tun Mahathir mesti disaman dan bayar ganti rugi. RM3 bilion paling sesuai. Baru padan.

"Justeru, saya tawar diri untuk saman Tun M. Ini soal maruah kerana dia jual kedaulatan Johor dan negara," katanya.

Kerajaan persekutuan memfailkan permohonan pada 2017 untuk semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Mahathir menarik balik rayuan itu sejurus selepas mengambil alih kuasa pada 2018.

Seorang individu bernama Hatta Sanuri turut memfailkan saman pada 28 Mei tahun lalu, dengan menamakan Mahathir dan kerajaan sebagai defendan.

Hatta mempertikaikan tindakan kerajaan menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan ICJ bahawa Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Kerajaan berkata ia mengikut nasihat pakar undang-undang asing untuk menarik balik rayuan ke atas tuntutan pulau berkenaan. Perkara ini dinyatakan sebelum ini oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Keputusan terhadap permohonan kerajaan bagi membatalkan saman itu akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Lihat Komen
ADS