Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pati gagal keluar lepas 12 tengah malam berdepan tindakan - Hamzah

Pendatang tanpa izin (Pati) yang gagal meninggalkan Malaysia selepas tengah malam ini akan diangggap melanggar undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman, Hamzah berkata mereka termasuk ribuan Pati yang dilaporkan terkandas di pintu keluar antarabangsa ketika menunggu penerbangan atau perjalanan feri ke Indonesia.

“Kita hanya ada sampai pukul 12 malam dan tak sempat pulang itu masalahnya, mereka pun dah tahu patut pulang hari ini tapi tiba-tiba semua nak rush pergi ke airport. Ini kesalahan juga.

"Kalau lepas 12 tengah malam ini mereka (dikira) lakukan kesalahan," kata Hamzah.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan ribuan Pati yang mahu pulang ke negara asal di bawah Pelan Rekalibrasi terlepas penerbangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Program itu yang pertama kali diumumkan pada November 2020 berakhir hari ini.

Pemandangan serupa berlaku di pintu keluar masuk di Johor, di mana ada yang terpaksa menunggu lebih tiga hari bagi mendapatkan giliran serta membuat pembayaran kepada Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, difahamkan kaunter Jabatan Imigresen mengehadkan untuk menerima hanya 100 pembayaran sehari.

Pelbagai sumber mengesahkan ribuan pendatang asing terkandas di KLIA2 di Sepang dan pelabuhan Pasir Gudang dan Stulang Laut di Johor.

Apabila dinyatakan bahawa ada antara mereka mungkin menjadi mangsa ejen tidak bertanggungjawab, Hamzah berkata, "Mengapa anda mesti berhujah bagi pihak mereka?"

“Sebab itu saya kata, sesiapa saja yang lakukan kesalahan akan kita ambil tindakan, sama ada orang luar atau warganegara kita sendiri yang ambil kesempatan menyebabkan ramai jadi mangsa,” katanya.

Hamzah juga memberi amaran kepada majikan supaya tidak menggajikan mana-mana Pati dengan membayangkan operasi besar-besaran akan dilakukan bagi membanteras mereka yang gagal keluar dari negara ini.

Setakat 31 Dis 2020, sebanyak 6,634 operasi telah dijalankan ke atas Pati manakala sejumlah 22,522 Pati dan 387 majikan telah ditahan.

Pada Disember tahun lepas, Hamzah mengumumkan bahawa seramai 280,088 pekerja asing telah memohon untuk menyertai program pelan rekalibrasi Pati dan lebih 120,000 daripadanya bekerja dalam sektor perladangan.

Lihat Komen
ADS