Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SD sokong Anwar: Umno ambil tindakan cara BN, kata Khaled

Umno membayangkan parti itu mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan isu sebahagian daripada ahli parlimennya memberikan pengakuan bersumpah (SD) kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri pada 2020.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan tersebut akan diambil mengikut cara yang ada dalam gabungan tersebut.

Dihubungi Malaysia mengenai isu berkenaan bekas menteri besar Johor itu menjawab: "Kami akan selesaikan dengan cara BN."

Bagaimanapun dia tidak memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataan tersebut.

Terdahulu MIC mendesak Umno untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin parti itu yang menandatangani SD bagi menyokong Anwar dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ia didedahkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media di Petaling Jaya, Selangor pada 27 Julai lalu. Ia berlangsung dua hari selepas dia dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Dalam sidang media itu Tajuddin turut memetik beberapa nama pemimpin kanan Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan dan Khaled sendiri.

Semalam Ketua Penerangan MIC R Thinalan membuat gesaan agar Umno mengambil tindakan ke atas pemimpin yang terbabit dalam pendedahan Tajuddin.

Thinalan berkata tindakan sewajarnya perlu diambil segera berhubung kerana sebarang kelewatan atau keengganan menangani isu berkenaan hanya akan memudaratkan BN.

Mahu selesai secara dalaman

Dia turut menggesa Ahmad Zahid dan Najib tampil memberi penjelasan terhadap segala pendedahan oleh Tajuddin.

Untuk rekod MIC merupakan parti komponen BN pertama memberi reaksi berhubung pendedahan Tajuddin.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sebelum ini mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia dan Tajuddin serta Ahmad Zahid adalah antara pemimpin Umno yang menandatangani SD menyokong Anwar pada Nov 2020.

Namun kata Nazri tindakan tersebut adalah untuk menyelamatkan Umno daripada dibubarkan oleh Muhyiddin.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid, yang dihubungi Malaysiakini menyatakan rasa kurang senang dengan pandangan pemimpin MIC yang dianggapnya mengeluarkan kenyataan sekadar memanaskan lagi keadaan.

Lebih-lebih lagi, katanya, jika ia melibatkan rakan kompenan mereka sendiri dan MIC sendiri mempunyai tanggungjawab lain yang lebih penting.

“Dalam tempoh berbaki kurang lebih 12 bulan sahaja lagi nak pilihan raya umum (PRU), saya berpendapat MIC tidak perlulah mengeluarkan kenyataan yang mensensasikan suhu politik negara ini," katanya.

Mustafa Shah berkata adalah lebih baik untuk MIC memberi tumpuan untuk menguatkan lagi jentera parti mereka bagi menghadapi PRU ke-15 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Kalau ada pun pertanyaan, simpan dulu dan tanya semasa mesyuarat BN Pusat nanti, tak perlu tanya di media massa,” tegasnya.

Disoal sikap berdiam diri pemimpin Umno berhubung pendedahan yang dibuat Tajuddin pula, Mustafa enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak pasti pendedahan ahli Parlimen Pasir Salak itu benar atau tidak, tapi semuanya elok berbincang dan selesaikan secara ukhwah dan secara dalaman.

“Saya tidak nampak Umno ada masalah dalaman sekarang ini. Semuanya berjalan dengan lancar dan jentera parti juga telah siap siaga untuk mengahadapi PRU,” katanya.

Lihat Komen
ADS