Transparency International (TI-M) Malaysia menggesa kerajaan memberikan maklumat terkini mengenai siasatan berhubung dakwaan kecurian data peribadi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam satu kenyataan, Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata kerajaan juga perlu mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai usaha untuk mencegah kejadian tersebut.

"Diam bererti pekakkan telinga. Kerajaan nampaknya tidak mempunyai jawapan kepada soalan penting seperti itu namun harus bertanggungjawab kepada rakyat atas sebarang kegagalan melindungi data kami," kata Muhammad.

Muhammad berkata kerajaan perlu memberi penjelasan terdapat beberapa kes berprofil tinggi di mana data peribadi rakyat Malaysia terdedah melibatkan agensi kerajaan seperti JPN, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MySejahtera.

"Insiden ini bukan terpencil atau baru. Media telah tepu dengan berita kebocoran data, risiko kepada perlindungan data peribadi dan kesan daripada ini, menuntut jawapan daripada kerajaan tentang cara data kami dikendalikan.

"Ironinya ialah tuntutan kami untuk mendapatkan ketelusan dijawab dengan kerahsiaan, manakala data peribadi kami nampaknya tersedia untuk diambil," katanya.

Pada April lalu, iklan bagi 22.5 juta rekod peribadi, yang dikatakan dicuri daripada pangkalan data MyIdentity JPN, muncul di laman web breached.co .

Penjual malah menyiarkan "sampel" produk yang mengandungi butiran peribadi Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, yang menyelia JPN.

Pada Mei lalu, pakar keselamatan siber mendedahkan bahawa rekod peribadi peserta program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mudah untuk diakses.

Pada 13 Jun, beberapa organisasi berita penyiasatan melaporkan siasatan oleh pakar keselamatan siber tidak bernama ke atas sebuah laman web menawarkan maklumat peribadi dengan bayaran langganan serendah AS$5 sebulan.

Laman web ini membolehkan carian mengikut nama, nombor telefon, nombor perniagaan dan plat kenderaan.

Ketika berita ini ditulis, laman web ini masih boleh diakses.

Hamzah memberitahu Sinar Harian dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa belaku kebocoran tetapi berkata JPN tidak boleh dipersalahkan.

Dia berkata usaha untuk menutup kebocoran itu termasuk mengehadkan hanya 44 agensi kerajaan kepada pangkalan data JPN.