Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin mahu Ismail Sabri terus jadi PM selepas PRU15

Bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, mahu Ismail Sabri Yaakob terus menerajui negara sebagai perdana menteri walaupun selepas PRU ke-15 nanti.

Menyatakan keinginannya itu secara terbuka di hadapan perdana menteri itu dan kira-kira 15,000 warga Pasir Salak, Tajuddin mengulangi sokongan tidak berbelah baginya kepada Ismail Sabri.

"Apa pun saya tetap setia dan sokong perdana menteri, biar apa pun orang kata pada dia - ada orang kata dia lembiklah, apa ke...

"Kenapa macam-macam tuduhan dibuat terhadap beliau? Macam-macam dikata pada dia (Ismail Sabri), kita nak dia jadi perdana menteri selepas PRU," katanya pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Kampung Gajah, Perak hari ini.

Tajuddin minggu lalu menghangatkan politik negara apabila mendakwa ada beberapa pemimpin Umno menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagia perdana menteri.

Dakwaan itu dibuat beberapa hari selepas Tajuddin diketepikan daripada jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno oleh presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang media khas di Petaling Jaya itu, Tajuddin turut berkata Ahmad Zahid tidak layak untuk memimpin Umno bagi menghadapi PRU ke-15.

Paling berjaya setakat ini

Tindakan Tajuddin itu mendakat kecaman sesetengah pemimpin Umno dan dia kini berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Program disertai Ismail Sabri hari ini diadakan di kawasan bersebelahan saja dengan Bagan Datuk yang kini diwakili Ahmad Zahid.

Tambah Tajuddin selaku wakil rakyat di Pasir Salak, dia akan terus memberikan sokongan padu kepada Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata pembagungan di Kampung Gajah, Pasir Salak agak ketinggalan berbanding di tempat lain.

Oleh itu dia meminta perdana menteri supaya meluluskan projek bagi pembangunan di kawasan tepi Sungai Perak supaya ia menjadi tarikan baru yang boleh menjana ekonomi setempat.

"Kita nak bangunkan tepi Sungai Perak satu bandar baru, tak ada masalah untuk perdana menteri selitkan sikit dalam bajet tahun depan, saya nak minta perdana menteri luluskan dari segi prinsipnya sudah cukup.

"Kampung Gajah tak ada banyak pembangunan, saya sedih juga. Tapi nak buat mcm mana saya wakil rakyat biasa, kalau menteri lainlah," katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri yang berucap selepas itu berkata program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pasir Salak adalah sambutan paling berjaya setakat ini.

Katanya dianggarkan lebih 40,000 hadir pada karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Lihat Komen
ADS