Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: JPP nafi berlaku penipuan, sahkan ada cubaan godam
Diterbitkan:  Jul 4, 2022 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini menafikan berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan PKR.

Sebaliknya, jawatankuasa itu mengesahkan terdapat cubaan menggodam dalam prosesnya untuk menjejaskan integriti keputusan pemilihan parti.

"JPP menafikan berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti PKR sepertimana yang diberitakan dalam suatu portal berita baru-baru ini.

"Sebaliknya, JPP menegaskan bahawa terdapat beberapa cubaan menggodam dalam proses pemilihan parti PKR untuk menjejaskan integriti keputusan Pemilihan PKR 2022.

"JPP merasa kesal atas perbuatan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan ataupun merosakkan integriti Pemilihan PKR 2022," kata pengerusinya JPP PKR Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan media hari ini.

Jawatankuasa itu berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.

Sebelum ini, beberapa sumber parti memberitahu terdapat empat isu utama dibentangkan pakar audit forensik kepada MPP dalam dua mesyuarat berasingan masing-masing pada 9 Jun dan 20 Jun.

Menggunakan peranti ‘tab’ haram, mengundi selepas waktu pengundian tamat, mengundi berpuluh kali menggunakan Mykad yang sama, mengundi secara besar-besaran dalam satu-satu masa merupakan antara empat perkara disimpulkan sebagai 'digital discrepancies' (kejanggalan digital).

Untuk rekod, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu sebelum ini bersetuju dengan cadangan JPP mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.

Pemilihan PKR kali ini diadakan secara campuran iaitu pengundian atas talian (PAT) dan pengundian secara fizikal. JPP menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.

Susulan itu, JPP melantik Alliance IFA Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar audit digital untuk membuat audit forensik ke atas 4,000 tab yang digunakan untuk pemilihan secara fizikal.

Sementara itu, Zaliha memberitahu bahawa jawatankuasa itu sedang menyediakan keputusan akhir yang bakal diumumkan selewat-lewatnya pada 4hb Julai 2022 (hari ini).

"JPP menegaskan sekali lagi bahawa keputusan yang diumumkan oleh JPP ini adalah rasmi, sahih dan kekal muktamad.

"JPP berharap dengan ini, sebarang spekulasi mengenai Pemilihan PKR 2022 dan masa depan PKR dapat dihentikan.

"Semua anggota haruslah menerima keputusan ini dan terus menumpukan kerja-kerja parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS