Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar daripada saksi pendakwaan dalam perbicaraan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa dia menerima sejumlah RM650,000 wang tunai daripada bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim pada April 2020, dengan sejumlah RM263,700 dikeluarkan untuk tujuan kebajikan. .

Muhammad Daniel Kusari, yang juga Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, berkata wang tunai itu diserahkan kepadanya pada 1 April oleh Rafiq Hakim, yang mahu dia menyimpannya kerana dia mempunyai peti besi di rumahnya.

"Rafiq Hakim cakap ‘Dan (Daniel), tolong pegang duit ini ada RM600,000 lebih. Ini duit daripada parti yang aku telah keluarkan dan aku minta kau tolong simpan dan agih-agihkan untuk bantuan Covid-19 dan duit kebajikan Armada (Pemuda Bersatu)’," kata Daniel di mahkamah.

Tambahnya, dia kemudian mendapat tahu jumlah wang tunai itu RM650,000.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah terhadap Syed Saddiq, yang menghadapi dua pertuduhan penyelewengan membabitkan RM1.12 juta daripada Pemuda Bersatu.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram.

Menurut Daniel, beberapa hari selepas wang tunai itu diserahkan kepadanya, dia mula menerima beberapa arahan daripada Rafiq bagaimana wang itu harus diagihkan.

Dalam senarai yang diberikan kepada mahkamah, saksi itu berkata rekodnya sendiri menunjukkan wang tunai itu disalurkan melalui deposit tunai ke beberapa akaun bank dan secara tunai kepada beberapa individu, termasuk Rafiq sendiri.

Menurut Daniel, selalunya, Rafiq akan mengatakan bahawa deposit itu bertujuan untuk program kebajikan atau bantuan kebajikan kepada penerima.

"Arahan daripada Rafiq di dalam Whatsapp hanya menyatakan nama penerima, nombor akaun penerima dan jumlah sumbangan. Saya telah menghantar gambar resit slip deposit duit yang telah saya lakukan kepada Rafiq untuk memaklumkan kepada beliau bahawa saya telah membuat pembayaran sumbangan yang telah diarahkan.

"Saya telah membuang resit CDM tersebut dan saya telah memadam Whatsapp saya tersebut selepas beberapa hari. Ini kerana kelazimannya saya memang akan memadam Whatsapp pemberitahuan tersebut setelah ia dibaca oleh Rafiq.

"Saya sahkan saya dirujuk kepada satu dokumen salinan print out bertajuk 'Armada, Total 263,700.00'. Dokumen itu adalah print out senarai agihan yang telah saya lakukan berdasarkan arahan Rafiq," katanya.

Daniel berkata, dia bagaimanapun tidak menulis semua nombor akaun yang diberikan Rafiq.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Gobind Singh Deo, saksi itu bersetuju bahawa dia dipilih oleh Rafiq untuk menyimpan wang itu kerana dia mempunyai peti besi di rumah.

Dia juga bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa RM263,700 yang telah diagihkan semuanya digunakan untuk kebajikan anggota Bersatu dan untuk bantuan Covid-19.

Gobind: Cukup jelas semua wang diagih Encik Daniel itu diagih untuk tujuan kebajikan ahli Armada (Pemuda Bersatu) dan Bersatu, dan juga (bantuan) Covid-19?

Daniel: Ya, betul.

Gobind: Tak ada satu sen pun digunakan untuk tujuan-tujuan di luar sebab itu?

Daniel: Ya, betul.

Menurut saksi itu, jumlah baki RM650,000 yang diterimanya daripada Rafiq telah dirampas SPRM.