Ahli Parlimen veteran pembangkang Lim Kit Siang mencabar Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili untuk memberitahu Parlimen bagaimana dia berhasrat untuk menangani masalah berterusan Sabah membabitkan pendatang tanpa izin.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata adalah "tragedi" bagi Ongkili untuk mempersalahkan sebuah "parti BN" sebagai punca masalah itu sedangkan PBS sendiri tidak menyelesaikan isu itu sejak menyertai semula BN.

“Malah (presiden PBS ketika itu Joseph Pairin Kitingan) dilantik lagi sebagai Jawatankuasa Kerja mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Tanpa Izin di Sabah di antara tahun 2015 sehingga 2018, dengan Ongkili sendiri menjadi seorang menteri kabinet penuh untuk 14 tahun di antara tahun 2004 sehingga 2018,” kata Lim.

Lim berkata adalah juga satu tragedi apabila Ongkili hari ini terus lumpuh dalam cubaan menyelesaikan masalah itu sedangkan dia adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak.

Lim berkata, dia telah memberi amaran mengenai masalah yang datang akibat pendatang tanpa izin itu serta konspirasi secara haram untuk memberikan hak mengundi kepada mereka.

“Saya kira pada masa itu, 36 tahun yang lepas pada tahun 1986, daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, 21 kerusi adalah kerusi majoriti Kadazan, 8 kerusi majoriti Cina, dan 19 kerusi majoriti Melayu.

“Saya berikan amaran sekiranya masalah ini berterusan, aturan kerusi ini akan berubah kepada 16 kerusi majoriti Kadazan, dua kerusi majoriti Cina, dan 30 kerusi majoriti Melayu/Filipina/Indonesia.

“Semua kegusaran yang dibangkitkan di Parlimen pada tahun 1986 ini akhirnya berlaku, dengan perubahan asas demografi politik dan sosio-ekonomi di Sabah hasil daripada pemberian hak mengundi kepada pendatang tanpa izin, seperti yang dikatakan oleh Laporan RCI Pendatang Tanpa Izin di Sabah,” kata Lim.

Khamis lalu, Ongkili menyalahkan sebuah "parti BN" menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin di Sabah untuk kepentingan politiknya. Tanpa menyebut nama parti itu, dia berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi daripada pendatang berkenaan terbukti dalam siasatan RCI sebelum ini.

Banci 2020 mendedahkan bahawa hampir satu perempat penduduk Sabah terdiri daripada bukan warganegara.