Muhd Taib: Petanda baik BN hadapi praya umum
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam semalam memberi petanda baik kepada parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam semalam memberi petanda baik kepada parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Beliau berkata, ia bukan sahaja menunjukkan sokongan kepada BN tetap kuat tetapi rakyat menolak seruan pembangkang supaya memboikot pilihanraya tersebut.
Muhd Taib berkata, rakyat nampaknya tidak boleh menerima tindakan pembangkang untuk cuba menyekat rakyat daripada melaksanakan amalan demokrasi.
"Majoriti hampir dua kali di Batu Talam membuktikan bahawa rakyat menyokong penuh kepimpinan kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak hampir tiga tahun lalu," katanya.
Beliau demikian ketika diminta mengulas mengenai kemenangan calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram dalam pilihanraya kecil Batu Talam semalam.
Dalam pilihanraya itu, Abdul Aziz mengalahkan calon bebas, Ng Chee Pang dengan majoriti 5,857 undi. Abdul Aziz mendapat 6,276 undi dan Ng memperolehi 419 dan hilang wang pertaruhan.
Kerja kuat
Berikutan kemenangan besar itu, Muhammad mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua peringkat jentera kempen BN yang bekerja kuat untuk kemenangan besar Abdul Aziz.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, beliau telah mengarahkan jentera kempen Pemuda bekerja kuat untuk mencapai kemenangan besar calon BN di Batu Talam.
Katanya, ini kerana bimbang Pemuda Umno leka dan tidak bekerja kuat atas alasan BN bertanding menentang calon bebas yang tidak `muncul di khalayak ramai.'
"Boikot atau tidak, Pemuda BN memang bertekad mahu memastikan calon bebas hilang wang deposit dan nampaknya ia menjadi kenyataan kali ini," katanya yang juga Ketua Pemuda BN.
Hishamuddin berkata, apabila pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ia mencabar Pemuda untuk bekerja lebih kuat bagi membuktikan pergerakan itu boleh mempengaruhi pengundi keluar mengundi.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Abdul Aziz menang dengan majoriti 3,000 undi dan beliau telah meminta semua jentera parti BN bekerja keras untuk memastikan kejayaan tersebut.

